Bekas bintang Manchester United Raphael Varane umum bersara
Bernama
September 25, 2024 19:30 MYT
September 25, 2024 19:30 MYT
PARIS/ROM: Bekas pemain pertahanan Manchester United dan Real Madrid, Raphael Varane telah mengumumkan persaraannya daripada bola sepak, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pemain berusia 31 tahun itu menyertai pasukan Serie A Como dengan kontrak dua tahun selepas meninggalkan United pada penghujung musim lepas, tetapi mengalami kecederaan lutut semasa penampilan sulungnya dalam perlawanan Coppa Italia menentang Sampdoria.
Pemain antarabangsa Perancis itu pada Ogos lepas dikeluarkan daripada senarai skuad kelab untuk musim liga, dan kecederaan berkenaan kini memaksa beliau menamatkan karier gemilangnya.
Dalam hantaran di Instagram, Varane berkata: "Oleh itu, kehidupan baharu bermula di luar padang. Saya akan kekal bersama Como. Hanya tanpa menggunakan but dan pelindung kaki. Sesuatu yang saya nantikan untuk berkongsi lebih lanjut tidak lama lagi.
"Buat masa ini, kepada semua penyokong setiap kelab yang pernah saya wakili, kepada rakan sepasukan, jurulatih dan staf... dari lubuk hati saya, terima kasih kerana menjadikan perjalanan ini lebih istimewa daripada apa yang saya pernah impikan."
Secara keseluruhan, Varane membuat 480 penampilan kelab sepanjang karier 14 tahun yang menyaksikannya memenangi Liga Juara-Juara empat kali bersama Real Madrid, serta meraih 93 'caps' atau penampilan antarabangsa untuk Perancis dalam perjalanan menjuarai Piala Dunia 2018.
-- BERNAMA