Bekas bintang Chelsea, Tommy Baldwin meninggal dunia
Astro Arena
Januari 23, 2024 18:19 MYT
Januari 23, 2024 18:19 MYT
BEKAS penyerang kelab Chelsea Tommy Baldwin meninggal dunia pada usia 79 tahun selepas sekian lama dilaporkan menderita sakit.
Dalam satu hantaran yang dikeluarkan dalam laman sosial kelab tersebut, pengurusan kelab Chelsea mengucapkan takziah atas pemergian beliau kepada pihak keluarga selain menyanjung tinggi jasa dan pengorbanan yang pernah mendiang berikan sepanjang bermain untuk kelab itu.
Di era 60-an, Baldwin muncul selaku pemain yang cukup disegani oleh semua bintang terkemuka era tersebut.
Sepanjang kariernya, Baldwin telah membuat sebanyak 239 penampilan bersama Chelsea dengan menyumbang 92 gol untuk kelabnya itu.
Dikenali dengan gelaran 'The Sponge', Baldwin sangat dihormati oleh kawan dan lawan dengan aksi lincahnya selain memiliki kepintaran serta ketajaman penyudah yang berkesan untuk mencetak gol.
Penyerang itu turut pernah membantu Chelsea memenangi Piala FA pada tahun 1970 ketika mereka menewaskan Leeds 2-1.
Baldwin hampir terlepas untuk menjulang satu lagi trofi apabila Chelsea ditewaskan oleh Stoke dalam perlawanan akhir Piala Liga 1972 dan akhirnya meninggalkan kelab itu untuk bermain dalam Liga Bola Sepak Amerika Utara pada pertengahan 1970-an.
*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro