Bekas bintang bola sepak Ronaldinho positif COVID-19

Asyraf Roslan
Oktober 26, 2020 10:26 MYT
Ronaldinho memaklumkan dia dijangkiti COVID-19 namun tidak bergejala. -Gambar fail
BEKAS penyerang Brazil, Ronaldinho mengesahkan dia dijangkiti COVID-19.
Perkara tersebut dimaklumkan bekas pemain tersebut di laman media sosial.
Ronaldinho berkata dia tidak mengalami sebarang simptom dan kini sedang mengasingkan diri di Belo Horizonte setelah tiba di bandar itu Sabtu lalu.
"Saya telah berada di Belo Horizonte sejak semalam untuk menyertai satu acara.
"Saya telah menjalani ujian dan ia disahkan positif.
"Saya berada dalam keadaan baik, tiada sebarang simptom, tetapi kami perlu ketepikan acara itu untuk seketika," katanya.
Tahun ini merupakan tahun yang sukar buat bekas pemain Barcelona dan AC Milan berusia 40 tahun itu bersama abangnya Roberto Assis apabila mereka dipenjarakan di Paraguay pada Mac setelah memasuki negara itu dengan pasport palsu.
Kemudian mereka telah dipindahkan ke tahanan rumah di hotel di Paraguay pada April selepas berada dalam penjara selama 32 hari, dengan hukuman mereka berakhir pada bulan Ogos.
#COVID-19 #Ronaldinho #Brazil #media sosial #bola sepak #barcelona #Roberto Assis #pandemik #Belo Horizonte
;