Bekas bintang All Blacks minat kerjasama dengan Ragbi Malaysia
Bernama
Februari 19, 2024 21:13 MYT
Februari 19, 2024 21:13 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas bintang ragbi All Blacks, Sonny Bill Williams telah menyatakan minat untuk menjalin kerjasama dengan Ragbi Malaysia (MR) pada masa hadapan.
Walaupun tidak menjelaskan peranan yang dimaksudkan dengan MR, Williams yakin ada banyak bakat menunggu untuk dicungkil apabila beliau berkongsi kepakarannya dengan 60 pemain muda dari Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) semasa 'Klinik Ragbi Bersama Raja Offload' di sini, hari ini.
"Ya, sudah pasti (kerjasama dengan MR). Saya ingin kembali dan menjadi sebahagian daripada ragbi Malaysia," katanya kepada pemberita selepas sesi hampir sejam di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Walaupun ragbi bukan sukan utama di Malaysia, pemain berusia 38 tahun itu kagum melihat semangat yang kuat dalam kalangan peserta NRDP.
Williams, pemenang Piala Dunia dua kali bersama New Zealand pada tahun 2011 dan 2015, tiba di di sini Jumaat lepas untuk berucap dalam sebuah acara pendidikan Islam.
-- BERNAMA