Bekas atlet olahraga negara Zulkifli Yatim meninggal dunia
Bernama
Julai 9, 2022 21:51 MYT
Julai 9, 2022 21:51 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas atlet olahraga negara Zulkifli Mohd Yatim meninggal dunia akibat kanser hidung di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 acara 110 meter (m) lari berpagar itu, menghembuskan nafas terakhir pukul 7.40 pagi tadi pada usia 59 tahun.
Noorul Ariffin berkata isteri Allahyarham (enggan namanya disiarkan), yang dihubungi pihaknya hari ini memaklumkan jenazah akan dikebumikan di Kampung Berisu, Simpang Empat, Alor Gajah, Melaka bersebelahan kubur ibunya seperti pernah dipesan Zulkifli sebelum ini.
"Balu Allahyarham mengesahkan pemergian Zulkifli ketika dihubungi hari ini. Sama-sama berdoa agar roh Allahyarham ditempatkan bersama orang mukmin sejati," katanya ketika dihubungi Bernama.
Allahyarham meninggalkan dua anak perempuan berusia 28 dan 18 tahun.
Atlet kelahiran Melaka itu menjadi antara 12 penyumbang pingat emas olahraga bagi negara pada Sukan SEA 1989.
-- BERNAMA