Beckham hilang fokus selepas kahwini Victoria - Ferguson
AFP
Oktober 3, 2013 08:27 MYT
Oktober 3, 2013 08:27 MYT
Bekas pengurus kelab bolasepak Manchester United, Alex Ferguson mendedahkan pemain tengah yang menjadi bintangnya pada suatu masa dahulu, David Beckham "hilang fokus" selepas berkahwin dengan penyanyi pop daripada kumpuan Spice Girls, Victoria Adams.
Ferguson, yang bersara sebagai pengurus United pada akhir musim lepas selepas memimpin kelab itu dengan jayanya selama hampir 27 tahun di Old Trafford, jadi saksi kepada kepada tahun-tahun awal kerjaya Beckham.
Tetapi hubungan mereka semakin dingin apabila Beckham meninggalkan United pada 2003 untuk menyertai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.
Ferguson, dalam satu wawancara dengan rangkaian televisyen Amerika Syarikat, PBS, yang salinannya diterbitkan di laman web akhbar The Times di Britain pada Rabu, berkata Beckham dan isterinya mengalami perubahan dalam "status selebriti" mereka selepas berkahwin. Beliau juga melahirkan rasa terkejut dengan keputusan pemain itu yang kemudiannya menyertai Los Angeles Galaxy, sebuah kelab yang hampir tidak dikenali di luar Amerika Syarikat, pada 2007.
"Sejak saya menemuinya semasa umurnya masih 12 tahun, keinginan besarnya ialah (untuk bermain) bola sepak yang terbaik," kata Ferguson.
"Dia pelatih yang hebat, berlatih sepanjang masa. Pada waktu malam, dia akan datang dengan kawan-kawan sekolah dan berlatih bersama-sama. Dia jenis yang begitu.
"Tetapi kemudian hidupnya berubah selepas dia berkahwin dengan perempuan itu (Adams) dari The Spice Girls. Dan fokusnya berubah," tambah Ferguson.
"Dia terperangkap ke dalam -- status selebriti. Dan bagi saya, saya orang bola sepak. Saya orang bola sepak.
"Dia sudah tidak fokus lagi. Apabila kami menjualnya kepada Real Madrid, dia berjaya."
Beckham menang satu gelaran La Liga dalam masa empat tahun bersama Real sebelum berpindah ke Amerika Syarikat.
"Saya tak percaya dia pergi ke LA Galaxy," kata Ferguson. "Saya tak percaya. Saya tak boleh nak faham. Saya tak akan pernah buat begitu.
"Sekiranya saya mahu buat begitu, saya akan pastikan dia pergi ke kelab yang terbaik dan Real Madrid adalah yang terbaik dan tentunya saya kata, United."
Bagaimanapun, Ferguson yang mengkagumi Bekham juga berkata: "Tetapi dia membentuk dirinya semula. Dia bermain dengan pasukan kebangsaan England untuk beberapa tahun. Dia bermain dengan AC Milan (dalam) Piala Eropah. Dia mengkagumkan. Dia sangat bagus, syabas. Kita tidak boleh nafikan statusnya itu."
Beckham bersara daripada bolasepak antarabangsa pada usia 38 tahun pada akhir musim lepas setelah bermain untuk masa yang singkat bersama kelab Perancis, Paris St Germain.
Ferguson berkata beliau berharap Bekham, yang bintang selebritinya tidak seperti pemain yang terkenal di dunia seperti Pele atau Diego Maradona, lebih diingati kerana kebolehannya dan menjadi pemain yang benar-benar hebat namun beliau tidak mahu mempertikaikan jalan hidup pilihan pemain itu. -- AFP