Beckham buka mulut 'lamar' Messi

Sinar Harian
Julai 4, 2023 17:58 MYT
Messi bakal menjadi pemain Inter Miami secara rasmi pada Rabu apabila dia melengkapkan perpindahan secara percuma dari Paris Saint-Germain (PSG). - Foto Agensi
PEMILIK Inter Miami, David Beckham mengimbas detik membolehkannya membawa masuk bintang sensasi, Lionel Messi untuk beraksi dalam kancah Liga Bolasepak Utama (MLS) Amerika Syarikat (AS).
Bekas kapten England itu adalah pemilik bersama francais kelab MLS berpangkalan di Florida itu.
Messi bakal menjadi pemain Inter Miami secara rasmi pada Rabu apabila dia melengkapkan perpindahan secara percuma dari Paris Saint-Germain (PSG).
Menjelang detik penting itu dimeterai, Beckham membuka rahsia bagaimana dia belajar untuk melengkapkan rundingan itu.
“Beberapa minggu lalu, saya terjaga dari tidur dengan mesej yang sangat banyak di telefon.
“Saya terfikir mengenai apa yang berlaku kerana biasanya saya tidak menerima mesej sebanyak ini.
"Saya dengar Leo (Messi) mengumumkan dia akan datang ke Miami. Sudah tentu, ia bukan sesuatu yang mengejutkan bagi saya.
“Saya pernah berkata, jika ada peluang membawa pemain terbaik ke Miami tidak kira di peringkat mana dalam kerjaya mereka, saya akan melakukannya. Saya selalu memberikan komitmen itu kepada peminat.
“Jadi, apabila saya mendengar salah seorang pemain terbaik - jika bukan terbaik - yang memenangi segala-galanya dalam bola sepak, masih pemain hebat dan muda mahu bermain bersama kami, ia adalah saat yang besar buat kami,” katanya kepada The Athletic.
Messi akan berganding semula dengan bekas pengurus Barcelona dan Argentina, Gerardo Martino di Miami yang menggantikan Phil Neville sebagai pengurus.
Aksi Piala Liga menentang Cruz Azul pada 21 Julai ini menjadi peluang pertama buat pemain berusia 36 tahun itu tampil bersama Inter Miami. -- Sinar Harian
#Lionel Messi #David Beckham #Liga Bolasepak Utama #Inter Miami
;