Becker tempah pertemuan menentang Ferrer
Bernama
Oktober 2, 2015 23:41 MYT
Oktober 2, 2015 23:41 MYT
Pemain bukan pilihan, Benjamin Becker melakukan kejutan apabila menundukkan pilihan keempat, Grigor Dimitrov dari Bulgaria di suku akhir kejohanan tenis Terbuka Malaysia (MOKL) di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.
Pemain berusia 34 tahun dari Kanada yang berada pada ranking ke-74 dunia menundukkan Dimitrov, pemain nombor 18 dunia, 6-4, 7-6(3) dalam pertarungan 95 minit.
Kemenangan itu membolehkan Becker menentang pemain nombor lapan dunia, David Ferrer di separuh akhir esok. Ferrer mara selepas menjinakkan pemain Kazakhstan, Mikhail Kukushkin, 6-3, 6-4.
"Dia (Dimitrov) adalah pemain yang hebat, cukup berbakat. Saya sedar akan berdepan laluan sukar apabila menentang pemain sehebatnya.
"Saya bermain dengan baik di set pertama dan agak bertuah di set kedua. Ini adalah aksi yang baik untuk saya," kata Becker.
Sementara itu, Ferrer mengakui Becker bermain dengan baik di kejohanan ini dan percaya pertemuan separuh akhir nanti adalah sengit.
Dalam satu lagi perlawanan suku akhir, pemain Australia, Nick Kyrgios yang ibunya adalah orang Malaysia mengetepikan pilihan ketiga dari Croatia, Ivo Karlovic dalam pertarungan dramatik sebelum menang 7-6(4), 7-6(2) bagi menempah pertemuan dengan Feliciano Lopez dari Sepanyol.
"Ia sesuatu yang hebat untuk berada di separuh akhir. Saya sedar hari ini adalah perlawanan yang sukar tetapi ia adalah aksi yang menyeronokkan menentang Karlovic.
"Tambah pula saya dapat menamatkan perlawanan dengan pukulan ace. Hakikat Karlovic pernah tewas sekali kepada saya juga membantu.
"Ia memberi saya keyakinan kerana pernah menewaskannya sebelum ini," kata Kyrgios.
Bagi Lopez, dia mara ke separuh akhir selepas menewaskan Vasek Pospisil dari Kanada 6-7(2), 6-3, 6-2 dalam pertarungan dua jam.
"Permainan saya hari ini lebih baik daripada semalam. Saya tidak begitu yakin tetapi hari ini permainan saya semakin meningkat.
"Walaupun saya tewas set pertama, permainan saya lebih baik. Saya gembira dapat mematahkan servisnya tiga kali," kata Lopez.
Beliau mengakui Kyrgios adalah lawan yang sukar dan perlu berhati-hati dengan pukulan forehand lawan itu.