Beberapa pemain tidak cukup bagus, terlebih bayar - Ratcliffe

Astro Arena
Mac 10, 2025 06:50 MYT
RATCLIFFE: Ada yang tidak cukup bagus dan ada yang mungkin terlebih dibayar, namun ia akan mengambil masa untuk kami membentuk skuad di bawah tanggungjawab kami sepenuhnya. - Foto Agensi/Sinar Harian
PEMILIK bersama Manchester United, Jim Ratcliffe, mengakui beberapa pemain mereka "tidak cukup bagus dan terlebih bayar", sambil menegaskan Ruben Amorim telah melakukan tugas hebat di Old Trafford.
The Red Devils menduduki tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris (EPL), 15 mata di belakang Chelsea yang menguasai tangga keempat, berikutan musim hambar yang menyaksikan Amorim menggantikan Erik ten Hag sejak November.
United masih boleh memastikan tiket Liga Juara-Juara (UCL) musim depan tetapi perlu menjuarai Liga Europa sambil perlawanan kedua pusingan 16 dengan Real Sociedad akan berlangsung Jumaat ini.
Kelab itu telah berbelanja besar dalam beberapa musim kebelakangan ini dengan memancing pemain seperti Antony dan Jadon Sancho yang masing-masing menelan kos £81.5 juta (RM464.8j) dan £73j (RM416.3j), namun kini dipinjamkan selepas gagal menyerlah di Old Trafford.
Bekas pemain tengah Real Madrid, Casemiro, tiba dengan harga £70j (RM399.2j) pada 2022, manakala Rasmus Hojlund £72j (RM410.7j) dan Andre Onana yang berharga £47.2j (RM269.2j) hadir pada tahun berikutnya.
Kelima-lima pemain itu telah mengundang perhatian, manakala pemilik bersama Ratcliffe turut menyemak nama mereka dalam temu bual dengan BBC Sport.
"Kami membeli Antony, kami membeli Casemiro, kami membeli Onana, kami membeli Hojlund, kami membeli Sancho," katanya.
"Ini semua perkara dari masa lalu sama ada kita suka atau tidak, kami telah mewarisi perkara itu dan perlu menyelesaikannya. Ia memerlukan masa untuk kami beralih dari masa lalu ke tempat baru pada masa depan.
"Ada yang tidak cukup bagus dan ada yang mungkin terlebih dibayar, namun ia akan mengambil masa untuk kami membentuk skuad di bawah tanggungjawab kami sepenuhnya.
"Kami perlu menempuhi tempoh transformasi ini, kami perlu bergerak ke hadapan."
#Manchester United #Jim Ratcliffe #belanja besar beli pemain #Ruben Amorim #Liga Juara-Juara #Liga Europa
;