Bayern tetap bahaya tanpa Lewandowski, Muller - Rose
Astro Arena
Jun 12, 2020 10:33 MYT
Jun 12, 2020 10:33 MYT
BAYERN Munich akan turun tanpa Robert Lewandowski dan Thomas Muller dalam pertemuan dengan Borussia Monchengladbach, esok tetapi pengurus Die Fohlen, Marco Rose, tetap yakin juara bertahan itu memiliki skuad yang ampuh.
Lewandowski dan Muller jelas menyinar buat Bayern pada musim ini tatkala penyerang Poland itu meledakkan gol ke-45 dalam semua kejohanan sewaktu menewaskan Eintracht Frankfurt bagi aksi separuh akhir DFB-Pokal sambil penggempur Jerman itu kini mencatat 23 bantuan jaringan.
Namun, selepas menerima layangan kad kuning ketika mengatasi Bayer Leverkusen, kedua-dua pemain itu tidak dapat turun melayan kunjungan satu lagi wakil kelompok empat teratas.
"Muller dan Lewandowski adalah pemain utama buat Bayern. Mereka digantung untuk berdepan kami tetapi kelab itu tetap memiliki khidmat pemain lain untuk mengisi kekosongan ditinggalkan," kata Rose.
"Pengendali Bayern, Hansi Flick, dan anak buahnya membangunkan corak permainan yang membuatkan mereka berjaya. Saya fikir mereka tetap akan berpegang kepada percaturan itu. Jadi, kami perlu bersedia.
"Untuk meraih keputusan dari Munich, anda perlu beraksi dengan berani tidak kira sewaktu memegang bola atau tidak. Walaupun mereka beraksi kelmarin dalam saingan DFB-Pokal dan pemain mungkin kepenatan, mereka mampu membentuk jentera serangan untuk aksi esok.
"Anda perlu sentiasa bersama bola dan memastikan tuan rumah bekerja keras."
Monchengladbach akan turun tanpa pemain utama, Alassane Plea, yang diperintah keluar padang di Freiburg akibat layangan kad kuning tetapi Rose berpendapat penyerang itu tidak bernasib baik.
"Saya bercakap dengan pemain setiap hari, memberitahu mereka untuk menerima keputusan pengadil," tambah pengendali itu.
"Namun, saya fikir Plea tersilap langkah selepas dilayangkan kad merah. Saya fikir layangan kad itu agak melampau."
#Bayern Munich
#Die Fohlen
#gantung
#Hansi Flick
#kad kuning
#kad merah
#keluar padang
#Marco Rose
#pemain utama
#pengurus
#Robert Lewandowski
#Thomas Muller