Bayern, Real akhiri cabaran Eropah Arsenal, City

Sinar Harian
April 17, 2024 07:50 MYT
Kimmich (tengah, kanan) meraikan jaringan gol pembukaan bersama pemain Bayern lain ketika perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara antara Bayern Munich dan Arsenal di Arena Allianz, Munich, Jerman, 17 Apr 2024. (Foto AP)
JUARA enam kali, Bayern Munich mengubati kekecewaan saingan domestik apabila mengesahkan slot separuh akhir Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan cabaran Arsenal, 3-2 di Stadium Allianz Arena.
Anak buah Thomas Tuchel yang terlepas kejuaraan liga kepada Bayer Leverkusen minggu ini, mara ke pusingan empat terbaik, selepas menang 1-0 ke atas skuad kendalian Mikel Arteta dalam aksi suku akhir kedua.
Sebagai rekod, The Bavarians, mengharungi musim domestik yang lebih teruk dalam tempoh lebih sedekad selepas gagal memenangi kedua-dua kejuaraan Bundesliga dan Piala Jerman.
Angkatan Tuchel meledak jaringan hasil tandukan Joshua Kimmich yang menyempurnakan sentuhan Raphael Guerreiro pada minit ke-63 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 timbal balik suku akhir pertama di Stadium Emirates sebelum ini.
Arsenal yang ketinggalan satu gol berusaha bangkit selepas itu, namun barisan pemain Arteta berdepan kesulitan memecahkan pertahanan berdispilin Bayern diketuai Matthijs de Ligt.
Kemenangan itu membolehkan Bayern Munich berdepan juara 14 Real Madrid dalam perlawanan separuh akhir pada 30 April depan.
Real mara selepas menjinakkan penyandang juara Manchester City, 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas jaringan Rodrygo Silva de Goes (minit ke-12) dipadamkan Kevin De Bruyne (minit ke-76), terikat agregat 4-4 setelah seri 3-3 aksi sepenuh masa di Stadium Emirates sebelum ini. - Sinar Harian
#Bayern Munich #Arsenal #Liga Juara-Juara #Real Madrid
;