Bayern bergelut tembusi Cologne
Astro Arena
Disember 14, 2017 13:23 MYT
Disember 14, 2017 13:23 MYT
BAYERN MUNICH 1 COLOGNE 0
Jupp Heynckes menjelaskan pendahulu Bundesliga, Bayern Munich, kelihatan kaku dan tidak bersemangat dalam kemenangan ke atas Cologne awal pagi tadi sungguhpun pengurus Jerman itu masih berpuas hati dengan kemenangan berkenaan.
Juara bertahan, Bayern, mengukuhkan kedudukan mereka dengan kelebihan sembilan mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Cologne.
Robert Lewandowski merobek gawang Cologne pada babak kedua untuk gol kelapannya berturut-turut di Allianz Arena.
Bercakap selepas perlawanan, Heynckes, berkata: "Anda boleh katakan bahawa kami bergelut menentang Cologne yang gemar bertahan dengan sangat teratur.
"Kami kurang pantas di bahagian pertahanan, kurang ketepatan hantaran terutama pada babak pertama serta perubahan tempo permainan. Kami bertambah baik pada separuh masa kedua.
"Kami kaku dan kurang keberanian, namun kami masih boleh memenangi perlawanan seperti ini dan itu satu petanda yang baik.
"Kami terpaksa membuat perubahan asas pada masa rehat. Perlawanan seperti ini akan terjadi, kami perlu mengharungi program yang mempunyai tuntutan tinggi dan dua perlawanan sukar masih menunggu kami," katanya.
Penyerang Bayern, Thomas Muller, menambah: "Cologne mengancam kami pada tiga minit terakhir perlawanan.
"Kami gagal mengawal bola dengan baik pada babak pertama. Kami mengasak hebat pada separuh masa kedua tetapi kami perlu melakukan sesuatu.
"Sebaik kami memimpin perlawanan, kami sedar kami mempunyai dua baki perlawanan lagi tahun ini dan kami tidak mencapai 100 peratus dari segi tenaga. Kami membiarkan bola melakukan kerja dan berpuas hati dengan kemenangan 1-0," ujarnya.