'Bayangkan jika abang saya hilang minat' - Tunku Panglima Johor
Astro Arena
Mac 15, 2016 12:00 MYT
Mac 15, 2016 12:00 MYT
TUNKU Abdul Rahman Sultan Ibrahim membidas pihak yang lebih berminat mengkritik pemain penyerang Juan Martin Lucero yang tidak menjaringkan gol berbanding keputusan yang dicapai Johor Darul Takzim (JDT).
Tunku Abdul Rahman mengakui beliau tidak bimbang sekiranya JDT menang atau kalah, kerana perkara yang paling utama dibimbangkan adalah sekiranya abangnya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hilang minat terhadap sukan itu.
"Sekarang, biar saya beritahu anda mengapa saya risau. Pemain keletihan, jurulatih keletihan, penyokong juga keletihan.
"Namun, dapatkah anda bayangkan betapa letihnya abang saya Tunku Mahkota Johor? Pernahkah anda terfikir tentang hal tersebut? Ini adalah mengenai seorang individu yang mengambil alih sebuah kelab dan memulakan perancangannya serta membina asas dari detik permulaan," jelasnya menerusi kenyataan dibuat yang dimuat naik di Facebook Johor Southern Tigers.
Tunku Panglima Johor itu juga terkilan ada pihak yang sibuk mempertikaikan aksi Lucero dari menghargai kejayaan pasukan itu merangkul Piala AFC di samping mencatat 90 peratus kemenangan awal musim ini.
"Dalam JDT, apabila kita menang, kita semua menang. Apabila kita tewas, kita semua tewas. Itulah JDT," jelasnya.
Sementara itu, pengendali JDT Mario Gomez turut berkongsi kerisauan sama.
"TMJ bukan sahaja perlu berdepan dengan para pesaing dan kritikan lain tetapi baginda juga perlu bersabar dengan sesetengah penyokong sendiri yang tidak menunjukkan tanda-tanda penghargaan dan sokongan," katanya.
#bayangkan TMJ hilang minat
#JDT
#Southern Tigers
#Tengku Mahkota Johor
#TMJ
#TUnku Abdul Rahman bidas pengkritik
#Tunku Panglima Johor