Bayangan awal skuad Harimau Malaysia ke Piala AFF 14 November ini

Bernama
November 3, 2016 22:27 MYT
Datuk Ong Kim Swee berkata kesebelasan yang diturunkan menentang pasukan ranking ke-159 dunia itu di Stadium Shah Alam nanti, berkemungkinan juga akan diturunkan bagi menghadapi Kemboja dalam saingan Kumpulan B Piala AFF pada 20 Nov. - Gambar fail
Gambaran awal kesebelasan utama skuad Harimau Malaysia ke Piala AFF di Yangon, Myanmar, bakal ditampilkan dalam perlawanan antarabangsa 'A' bertemu Papua New Guinea, pada 14 November nanti.
Pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee berkata kesebelasan yang diturunkan menentang pasukan ranking ke-159 dunia itu di Stadium Shah Alam nanti, berkemungkinan juga akan diturunkan bagi menghadapi Kemboja dalam saingan Kumpulan B Piala AFF pada 20 Nov.
"Kita tahu Kemboja menang tiga perlawanan pusingan kelayakan yang pastinya memberi mereka kelebihan dari segi pendedahan serta keyakinan yang tinggi.
"Jadi, kita harus berada pada tahap yang baik sebelum bermain menentang Kemboja dalam perlawanan pertama kerana ia penting untuk kita dapatkan kemenangan," katanya kepada pemberita ketika sesi latihan di Kem Bina Semangat di sini hari ini.
Kem tiga hari yang akan berakhir esok membabitkan 26 pemain skuad Harimau Malaysia.
Di Yangon, Harimau Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan B berdepan Kemboja pada 20 Nov sebelum menentang Vietnam (23 Nov) dan tuan rumah (26 NOv).
Mengenai kem bina semangat itu, Kim Swee berkata ia berjalan dengan baik dengan kesemua pemain mengambil bahagian dengan serius.
"Ia mencapai tujuan kita... saya harap kita akan bina dari sini dengan lebih baik apabila kembali ke Kuala Lumpur nanti.
"Semua aktiviti melibatkan kerjasama berpasukan dan mereka saling membantu antara satu sama lain dan ini penting sebelum kita bermain," katanya.
Sementara itu, penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri sedia berganding dengan mana-mana pemain sama ada Safee Sali atau Amri Yahyah jika itu pilihan jurulatih pada kejohanan Piala AFF kali ini.
"Saya tiada masalah berganding dengan mana-mana penyerang seperti Safee atau Amri yang lebih berpengalaman kerana saya juga perlukan tunjuk ajar serta berkongsi pengalaman mereka.
"Menerusi latihan bersama ini, saya dapat rasakan banyak perubahan dalam persembahan saya dan yakin dapat memberikan aksi yang baik," katanya.
Beliau yang kali kedua mewakili negara di peringkat antarabangsa mengakui tugas sebagai penyerang bukanlah mudah dan perlu bekerja keras bagi mempamerkan aksi cemerlang.
"Apapun, ia menjadi tanggungjawab pasukan ini untuk memburu kemenangan di Piala AFF agar kejuaraan menjadi milik Malaysia. Pada saya sebagai satu pasukan, semua pemain mempunyai tanggungjawab memikul tugas sehingga ke akhir kejohanan," katanya.
-- BERNAMA
#berita bola sepak #Harimau Malaysia #Ong Kim Swee #Piala AFF
;