Bawa pasangan tinggal serumah, Ronaldo langgar undang-undang Arab Saudi
Agensi
Januari 7, 2023 12:10 MYT
Januari 7, 2023 12:10 MYT
PEMINAT bola sepak ketika ini pastinya sudah maklum yang Cristiano Ronaldo telah menyertai kelab Arab Saudi, Al Nassr dengan kontrak selama dua tahun minggu lalu.
Selain daripada bayaran yang diterimanya, media antarabangsa juga melaporkan perpindahan ke Arab Saudi itu telah menyebabkan Ronaldo melanggar salah satu undang-undang ketat di negara Islam itu.
Di Arab Saudi, pasangan yang belum berkahwin tidak dibenarkan tinggal serumah, namun ia nampaknya tidak menjadi masalah buat Ronaldo dan pasangannya, Georgina Rodriguez.
Menurut agensi berita Sepanyol EFE, melihat kepada status 'bintang' Ronaldo, hukuman ke atasnya berkemungkinan besar tidak akan dikuatkuasakan.
EFE turut memetik dua peguam Arab Saudi, yang menjangkakan pihak berkuasa tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap bekas bintang Manchester United itu.
"Walaupun undang-undang masih melarang bersekedudukan tanpa ikatan perkahwinan, pihak berkuasa tidak mahu menganiaya sesiapa. Sudah tentu undang-undang ini digunakan apabila ada masalah yang timbul atau perbuatan jenayah," kata seorang peguam.
"Pihak berkuasa Arab Saudi hari ini tidak campur tangan dalam perkara ini apatah lagi membabitkan warga asing, tetapi undang-undang terus melarang bersekedudukan," tambah seorang peguam lain.
Ronaldo bertemu Georgina semasa bermain untuk kelab Sepanyol, Real Madrid pada 2016 dan mereka mempunyai dua anak, Bella dan Alana. Dia juga mempunyai tiga lagi anak, Cristiano Jr dan pasangan kembar Eva dan Mateo.