Battleground Malaysia: Road To Gold platform cungkil bakat sukan tarian - Hannah
Bernama
November 4, 2023 10:15 MYT
November 4, 2023 10:15 MYT
PUTRAJAYA: Penganjuran lebih banyak platform mencungkil bakat dalam sukan tarian (breakdance) mampu melahirkan lebih ramai penari berbakat besar untuk diketengah hingga ke peringkat antarabangsa termasuk Sukan Olimpik.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata perkara itu dapat dilihat berdasarkan inisiatif bersama dilaksanakan kementerian menerusi Battleground Malaysia: Road To Gold dalam menampilkan bakat muda berpotensi.
"Hasrat kita adalah untuk membawa bakat yang kita ada ini dan memberi mereka satu platform untuk menonjolkan bakat selain mempersembahkan bakat itu kepada Malaysia.
"Ini yang kita nak supaya orang muda dengan pelbagai latar belakang, mereka perlu bekerjasama untuk menghasilkan sesuatu yang membanggakan," katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam tadi.
Hannah pada masa sama menyifatkan penglibatan ahli profesional berkaliber memberikan didikan serta tunjuk ajar kepada barisan penari dalam pertandingan itu juga membuahkan hasil positif selepas remaja berusia 17 tahun T. Kayllash dinobatkan sebagai juara kategori individu.
"Kita dapat lihat kalau orang muda diberikan platform, peluang untuk mereka mendapatkan latihan dan mereka mempunyai mentor, sudah tentu (mereka) akan berjaya," katanya.
Pada pertandingan tersebut, Team Danny muncul juara kategori berpasukan sekali gus membawa pulang wang tunai RM100,000 manakala naib juara Team Lego menerima RM30,000.
-- BERNAMA