BATC: Zii Jia sedia hadapi cabaran Chun Yi selepas aksi 'pemanas badan'
Bernama
Februari 14, 2024 22:40 MYT
Februari 14, 2024 22:40 MYT
SHAH ALAM: Selepas membenam wakil Kazakhstan,Dmitriy Panarin dengan mudah pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 hari ini, Lee Zii Jia bersedia untuk berdepan cabaran lebih sukar menentang wakil Taiwan, Lin Chun Yi pada esok.
Pada aksi kedua Kumpulan B di Pusat Konvensyen Setia City di sini, pemain perseorangan profesional negara di ranking dunia ke-10 itu, mudah mengatasi Dmitriy 21-11, 21-10 dalam masa 23 minit untuk memberi mata pertama buat Malaysia.
Namun, Zii Jia yang telah direhatkan ketika kemenangan 5-0 pada aksi sulung ke atas Brunei semalam, mengakui bahawa cabaran lebih besar bakal hadir pada aksi terakhir kumpulan bertemu Taiwan, jika beliau dan Chun Yi diturunkan oleh barisan kejurulatihan masing-masing.
Zii Jia, 25, yang kalah mengejut kepada Chun Yi pada pusingan kedua Malaysia Masters 2023, Mei tahun lalu, berkata beliau sedia untuk mencabar pemain di kedudukan ke-21 dunia itu esok dengan rekod pertemuan terikat 1-1.
Zii Jia menewaskan pemain itu pada Masters Indonesia, Januari tahun lepas.
"Secara jujur, persembahan Chun Yi meningkat sejak dua tahun kebelakangan ini dan sudah pasti perlawanan sengit esok,"
"Rutin saya, biasa memanaskan badan pada perlawanan pertama sebelum menghadapi perlawanan sukar. Atas kertas, pasukan Malaysia dan Taiwan adalah seimbang dan kita memiliki kelebihan dengan bekas juara dunia, beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, " katanya kepada pemberita selepas aksi berkenaan.
Mengulas mengenai perkembangan pemain perseorangan lelaki di Taiwan, yang tidak lagi bergantung kepada Chou Tien Chen sahaja, Zii Jia berkata Malaysia juga menunjukkan peningkatan apabila prestasi Ng Te Yong dan Leong Jun Hao semakin baik untuk mengurangkan kebergantungan kepada beliau.
Sementara itu, Zii Jia menjelaskan bahawa peminat tidak boleh mengharapkan peningkatan prestasi yang mendadak daripada beliau selepas latihan 10 hari bersama skuad kebangsaan Korea Selatan baru-baru ini.
"Memang 10 hari sahaja, tak boleh meningkat banyak. Saya pergi sana untuk lihat sesuatu berbeza.
"Ia adalah peluang baik untuk belajar ssuatu seperti budaya kerja dan rutin mereka...itu sahaja. Kalau nak kata kemahiran, nak cakap prestasi saya tiba-tiba bagus, tak mungkin," katanya.
-- BERNAMA