BATC: Malaysia mara ke separuh akhir lepas kalahkan Kazakhstan

Bernama
Februari 17, 2022 13:53 MYT
Aidil Sholeh Ali Sadikin, 22, memberikan mata pertama negara di Pusat Konvensyen Setia City, dengan mengalahkan pemain berusia 29 tahun Artur Niyazov 21-11, 21-12. - Bernama
SHAH ALAM: Pemain-pemain muda Malaysia mengalahkan Kazakhstan 5-0 untuk melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, sekali gus layak ke Piala Thomas.
Walaupun merehatkan pemain perseorangan utama Lee Zii Jia, Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao, serta pasangan beregu utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang membantu Malaysia mengatasi Singapura 5-0 semalam, pemain-pemain muda berjaya memberikan permainan terbaik untuk mengetepikan Kazakhstan, yang lebih dikenali untuk sukan seperti tinju dan angkat berat.
Aidil Sholeh Ali Sadikin, 22, memberikan mata pertama negara di Pusat Konvensyen Setia City, dengan mengalahkan pemain berusia 29 tahun Artur Niyazov 21-11, 21-12.
Seorang lagi pemain muda Lim Chong King menjadikan 2-0, dengan mengalahkan Khaitmurat Kulmatov 21-11.21-11, manakala pemain termuda dalam pasukan Jacky Kok Jing Hong, 20, mengesahkan kemenangan Malaysia dengan mengalahkan Makshut Tajibullayev 21-8, 21-4.
Dua permainan beregu mudah bagi pasangan Malaysia, apabila pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengatasi Jangir Ibrayey-Ilya Lysenko 21-5, 21-5 dalam masa 17 minit, manakala Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, mengalahkan Andrey Shalagin-Tajibullayey 21-8, 21-4 dalam masa 15 minit bagi mencatatkan kemenangan 5-0.
#BATC #Piala Thomas #pemain muda negara #Kazakhstan