BATC: Hao Nan-Wei Han sukarkan peluang Malaysia pertahan kejuaraan
Astro Arena
Februari 18, 2024 19:02 MYT
Februari 18, 2024 19:02 MYT
AARON CHIA dan Soh Wooi Yik gagal meraih mata pertama Malaysia selepas tewas kepada gandingan China, Xie Hao Nan dan Zeng Wei Han dalam perlawanan kedua final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024.
Selepas kekalahan Leong Jun Hao di tangan Weng Hong Yang, Aaron-Wooi Yik sedar akan keperluan mereka untuk mendapatkan mata pertama kem negara bagi mencerahkan kembali peluang untuk Malaysia mempertahankan kejuaraan.
Namun bukan permulaan yang dimahukan pasangan negara apabila memberikan rentetan empat mata buat Hao Nan-Wei Han sebelum mula menemui sentuhan, merapatkan jurang kepada 4-6.
Tetapi Hao Nan-Wei Han kembali menguasai perlawanan, biarpun hanya berkelebihan satu mata pada pertengahan set pembukaan.
Aksi berintensiti tinggi dipamerkan kedua-dua pasangan dengan servis saling bertukar tangan pada kedudukan mata 13 sama.
Hao Nan-Wei Han tampak lebih konsisten dan kurang membuat kesilapan hinggalah menemui mata kemenangan 21-16 pada set pertama.
Aksi kompetitif antara Aaron-Wooi Yik dan Hao Nan-Wei Han berterusan di set kedua, dengan mata terikat lima sama, enam sama, sebelum wakil negara yang mengorak langkah kanan mendahului 11-7.
Rentak cemerlang duo negara ini berjaya dikekalkan sehinggalah tamat set kedua 21-16 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Saingan sengit bersambung di set ketiga daripada mata terikat tiga sama hinggalah lapan sama, sebelum Aaron-Wooi Yik memiliki kelebihan tipis satu mata pada pertengahan set.
Namun beregu negara gagal mengekalkan momentum positif itu dan terpaksa menelan pahit kekalahan 22-24 di set penentuan.
Eogene Ewe bakal turun selepas ini dalam aksi ketiga menentang Lei Lan Xi bagi memastikan Malaysia masih bernyawa dalam perlawanan final.
*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro