BATC 2024: Skuad lelaki mudah tumpaskan Brunei

Bernama
Februari 13, 2024 21:40 MYT
Pemain perseorangan negara Ng Tze Yong semasa beraksi menentang pemain Brunei Kah Kit Kan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Skuad lelaki kebangsaan memulakan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 dengan bergaya selepas mudah mengecewakan Brunei, 5-0 dalam perlawanan Kumpulan B di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.
Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong hanya mengambil 23 minit untuk memberi mata pertama dengan menyingkirkan Kan Kah Kit dalam permainan straight set 21-7 dan 21-11.
Kegembiraan pasukan negara diteruskan pemain perseorangan negara Leong Jun Hao yang menampilkan aksi berbisa menumpaskan Marhanif Ali, 21-5 dan 21-6.
Malaysia meneruskan aksi 'pemanas badan' dengan mata ketiga disumbangkan oleh pemain perseorangan Eogene Ewe yang mengatasi Mattew Minggat 21-8 dan 21-4 dalam 23 minit.
Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri yang membuat penampilan pertama dalam kejohanan berkenaan juga tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Marhanif Ali-Haziq Rose 21-5 dan 21-12, sebelum Goh Sze Fei-Nur Izzudin Mohd Rumsani menoktahkan kemenangan menentang Mattew Minggat-Mohamad Iqbal Asyraf 21-9 dan 21-7.
Sementara itu, Tze Yong yang ditemui pemberita selepas perlawanan mengakui kejohanan dwitahunan itu amat penting baginya mengetahui kondisi terkini kecederaan belakang yang dialami pada Terbuka Malaysia Januari lepas.
"Gembira (kembali ke gelanggang), saya rasa ini perlawanan pertama (perlawanan penuh) untuk saya tahun ini. Saya fikir ia baik namun masih ada rasa sakit sedikit, jadi akan bincang dengan jurulatih. Sekarang ini saya rasa sekitar 60 hingga 70 peratus keadaan semasa.
"Masa cedera dulu memang rasa sedikit hampa kerana saya telah berlatih berbulan-bulan untuk mempamerkan kepada anda apa yang saya telah berlatih," katanya.
Tze Yong sebelum ini terpaksa menarik diri daripada pusingan pertama Terbuka Malaysia ketika ketinggalan 8-12 dalam set pertama menentang Koki Watanabe dari Jepun pada Januari.
Malaysia yang turun sebagai juara bertahan Kumpulan B akan bertemu Kazakhstan esok dan Taiwan (15 Feb).
-- BERNAMA
#BATC 2024 #Kejohanan Badminton Berpasukan Asia #skuad lelaki #Brunei
;