BATC 2022: Tewaskan Korea Selatan, skuad lelaki negara mara ke final
Astro Arena
Februari 19, 2022 20:14 MYT
Februari 19, 2022 20:14 MYT
SHAH ALAM: Skuad badminton lelaki negara tidak berdepan masalah untuk mara ke final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia selepas menewaskan Korea Selatan 3-0 dalam aksi separuh akhir di Setia City Convention Center, Shah Alam sebentar tadi.
Perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, bagaimanapun, terpaksa bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum melakar kemenangan 13-21, 21-13, 21-15 ke atas Jeon Hyeok Jin dalam masa sejam tujuh minit.
Turun menyumbangkan mata kedua skuad negara adalah gandingan beregu, Aaron Chia-Soh Woi Yik, yang mengatasi cabaran sengit Kim Hwi Tae-Kim Jae Hwan sebelum menang 21-14, 20-22, 21-19 dalam pertarungan yang memakan masa hampir sejam.
Peseorangan meningkat naik, Ng Tze Yong, kemudian mengesahkan kemaraan skuad negara ke final menerusi kemenangan 19-21, 21-16, 21-12 ke atas Kim Joo Wan.
Seterusnya Malaysia akan menantikan pemenang di antara Indonesia dan Singapura dalam satu lagi perlawanan separuh akhir bagi perebutan kejuaraan petang esok.
#BATC 2022
#skuad lelaki
#final
#Lee Zii Jia
#badminton
#Kejohanan Badminton Berpasukan Asia
#Malaysia
#Korea Selatan