Batalkan pemindahan Ghaddar jika KAFA belum cukup syarat - Annuar
Bernama
Mei 30, 2017 17:34 MYT
Mei 30, 2017 17:34 MYT
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa meminta Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) membatalkan pemindahan bekas pemain importnya, Mohammed Ghaddar yang berhijrah ke pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) memandangkan persatuan itu masih 'gagal' memenuhi syarat-yarat ditetapkan badan tersebut.
Annuar berkata langkah itu harus diambil memandangkan FMLLP terus mengenakan pelbagai syarat yang dilihatnya sebagai cubaan untuk menggagalkan usaha KAFA membawa masuk seorang lagi pemain import baharu Kelantan, Syedi L Imam bagi menggantikan Alessandro Padovani Celin yang kurang cergas ketika ini.
"Semalam mereka beri alasan hasil perpindahan (Ghaddar) tak dibelanja untuk selesai 'masalah' tanpa mereka siasat terlebih dahulu. Hari ini lain pula ceritanya...kerana tidak melengkapkan dokumen pendaftaran pula.
"Sekiranya (ada) sekatan yang belum KAFA lepas, sila batalkan perpindahan Ghaddar kerana undang-undang mesti jelas dan konsisten," katanya menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.
Sebelum ini, FMLLP dilaporkan bertegas tidak akan meluluskan pendaftaran Syedi berikutan badan itu hanya menerima satu surat permohonan daripada KAFA untuk seorang sahaja pemain luar negara yang ingin didaftarkan bagi menyertai pasukan itu.
Malah pemain itu tidak boleh diluluskan pendaftarannya untuk beraksi pada saingan Liga Malaysia kerana KAFA masih menghadapi sekatan perpindahan berikutan isu-isu yang dihadapi persatuan tersebut berkaitan pembayaran tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan.
Annuar berkata FMLLP sebelum ini turut memberi alasan tindakan menyekat penyertaan Syedi ke dalam pasukan Kelantan turut membabitkan isu tunggakan gaji dan pendaftaran pemain hanya boleh dibenarkan jika ia tidak melibatkan kos tambahan.
Beliau turut mempersoalkan jika FMLLP boleh menggunakan 'budi bicara' terhadap persatuan tertentu, mengapa badan itu tidak boleh menggunakan pendekatan sama terhadap Kelantan.
Katanya FMLLP mesti didisiplinkan jika masih gagal memberi sebarang penjelasan yang kukuh berhubung kemelut yang berlaku membabitkan KAFA dan badan itu.
-- BERNAMA
#Annuar Musa
#bola sepak
#FMLLP
#Football Malaysia Limited Liability Partnership
#KAFA
#Mohammed Ghaddar
#pemain import
#Persatuan Bola Sepak Kelantan
#Syedi L Imam