Basikal: Fatehah raih pingat emas pada Kejohanan ACC
Bernama
Mac 11, 2013 22:51 MYT
Mac 11, 2013 22:51 MYT
Pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa berjaya meraih pingat emas dalam acara pecut pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2013 di New Delhi, India, pada Isnin.
Ia adalah pingat emas pertama yang disumbangkan oleh pelumba elit negara dalam kejohanan berkenaan selepas skuad pelapis meraih dua pingat emas pada hari pembukaan, Khamis lepas.
Selepas merangkul gangsa dalam acara 500 meter ujian masa semalam, Fatehah dari Hulu Terengganu, itu mengalahkan pelumba China, Shi Jingjing dalam saingan akhir di Velodrom Indira Ghandi.
Kejayaan itu sekali gus menebus kekecewaan Fatehah meraih pingat perak pada kejohanan edisi lepas di Kuala Lumpur, tahun lepas.
Dalam pada itu, Malaysia turut meraih pingat gangsa menerusi Farihah Shahwati Mohd Adnan dalam kategori remaja perempuan pula selepas mengalahkan pelumba Korea Selatan, Im Sarang.
Pingat emas bagi kategori itu dimenangi pelumba Korea Selatan, Jang Yeonhee, manakala pingat perak menjadi milik pelumba India, Deborah.
Sementara itu, dua lagi pingat emas diperoleh oleh pelumba negara pada hari terakhir acara trek.
Josiah Ng merangkul emas dalam acara 200m lelaki elit setelah mengalahkan pelumba Iran, Hassanali Varposhti pada saingan akhir.
Muhammad Firdaus Mohd Zonis turut menggondol emas keduanya apabila menungguli acara 200m pecut remaja lelaki.
Dalam pada itu, Fatehah dalam Facebooknya berkata beliau turut memenangi pingat perak dalam acara keirin.
"Satu perak untuk keirin......Menamatkan saingan dengan satu emas, satu perak dan satu gangsa untuk Malaysia," katanya.
Penaja pelumba itu, Yayasan Sime Darby (YSD) mengucapkan tahniah atas persembahan cemerlangnya pada kejohanan itu.
"Matlamat membawa pulang sebutir emas dari kejohanan ini menjadi kenyataan," kata Pengerusi YSD, Tun Musa Hitam dalam kenyataan di sini.
YSD menyediakan peruntukan RM2.85 juta untuk menaja Fatehah dan pelumba lelaki Mohd Azizulhasni Awang untuk persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Brazil.
Pembiayaan YSD untuk tiga setengah tahun itu bermula Februari 2013 hingga Ogos 2016 itu merangkumi perbelanjaan penyertaan pasukan dan yuran, tiket penerbangan, perbelanjaan perjalanan, pakaian pelumba, pengangkutan peralatan dan elaun pelumba.