Basikal: Azizulhasni raih emas acara pecut di New Delhi
Bernama
Februari 10, 2017 19:57 MYT
Februari 10, 2017 19:57 MYT
Jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat emas acara pecut individu elit lelaki pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) ke-35 di New Delhi, India.
Pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016 itu meraih kemenangan 2-0 selepas mendominasi perlumbaan pertama dan kedua dengan catatan masa 10.451 saat dan 10.526 saat di Velodrom Indira Gandhi, hari ini.
Beliau menewaskan Tomoyuki Kawabata dari Jepun yang mencatat masa 10.543 saat dan 10.623 saat bagi dua perlumbaan.
Untuk rekod pelumba yang lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu pernah memenangi emas dalam acara pecut individu pada 2008, 2009 dan 2014. -- Bernama