Barrales lengkapkan senarai pemain import JDT bagi musim 2017
Bernama
Januari 7, 2017 14:27 MYT
Januari 7, 2017 14:27 MYT
JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal melengkapkan kuota empat pemain import apabila sah mengikat pemain keempat dari Argentina bagi mengharungi Liga Malaysia 2017.
Bernama difahamkan pemain berkenaan adalah bekas penyerang kelab Turki, Sivasspor iaitu Jeronimo Barrales.
Menerusi entri terbaharu dalam laman Facebook JDT, Johor Southern Tigers, Pengurus dan Ketua Jurulatih JDT, Mario Gomez berkata penyerang berkenaan yang dikenali sebagai 'Apache Assassin' akan menggantikan tempat Juan Martin Lucero dari Argentina yang dijual kepada kelab Mexico, Club Tijuana.
Skuad Harimau Selatan sebelum ini melepaskan rakan senegara Lucero, Jorge Pereyra Diaz kerana pemenang Anugerah Kasut Emas (penjaring terbanyak) Liga Super 2016 itu dilaporkan meminta gaji yang tinggi.
JDT sah diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain import dari Argentina, Gonzalo Cabrerra selain bekas penyerang PKNS FC, Gabriel Miguel Guerra yang bakal beraksi untuk JDT II.
Pemain antarabangsa Singapura, Hariss Harun pula dilaporkan akan dipinjamkan sama ada kepada kelab Portugal atau Jepun selama setahun pada musim depan dan tempat beliau diisi pemain import dari Argentina, Brian Ferreira yang memegang kerakyatan Iraq.
Skuad Harimau Selatan turut mempunyai seorang lagi pemain import iaitu Marcos Antonio dari Brazil yang beraksi di posisi pertahanan.
-- BERNAMA