Barisan kejurulatihan Harimau Malaya buat lawatan teknikal ke Sepanyol

Bernama
April 25, 2023 21:44 MYT
Kunjungan tersebut memberi peluang buat mereka menyaksikan sesi latihan pasukan utama FC Barcelona dan melawat fasiliti latihan kelab berkenaan. - Facebook FAM
KUALA LUMPUR: Barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya telah mengadakan lawatan teknikal selama seminggu di Barcelona, Sepanyol bermula 17 April.
Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dalam hantaran di laman Facebooknya, lawatan yang diketuai ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon, turut disertai pembantu jurulatih, Pau Marti Vicente; jurulatih penjaga gol, Cho Junho; jurulatih kecergasan, Jihyeon Park dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun.
Kunjungan tersebut telah memberi peluang buat mereka menyaksikan sesi latihan pasukan utama FC Barcelona, melawat fasiliti latihan kelab berkenaan serta bertemu beberapa pegawai dan staf kejurulatihan termasuk pengurus kelab itu, Xavi Hernandez.
Pan Gon dan delegasi turut mengunjungi sebuah lagi kelab Sepanyol yang bertempat di Barcelona iaitu Espanyol pada Khamis (20 April) untuk meelihat pusat latihan pasukan utama dan menghadiri seminar oleh Jabatan Metodologi.
Dalam pada itu, mereka turut berkesempatan menyaksikan dua perlawanan La Liga 2022/23, Espanyol bertemu Cadiz pada Jumaat (21 April) serta FC Barcelona menentang Atletico Madrid pada Ahad (23 April).
Selain itu, Jihyeon dan Jaehun juga ke Mallorca untuk menyaksikan satu lagi perlawanan La Liga, Mallorca bertemu Getafe pada Ahad (23 April) dan seterusnya menyaksikan sesi latihan dan bertemu pegawai pasukan berkenaan pada keesokan harinya.
-- BERNAMA
#jurulatih #harimau Malaya #lawatan teknikal #FAM #barcelona
;