Barcelona tidak mahu ambil risiko turunkan Messi
Astro Arena
Ogos 16, 2019 09:49 MYT
Ogos 16, 2019 09:49 MYT
PENGENDALI Barcelona, Ernesto Valverde, tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkan Lionel Messi dalam aksi pembukaan LaLiga musim ini.
Messi tidak beraksi dalam saingan pramusim tatkala dia meneruskan proses pemulihan daripada kecederaan betis.
Frenkie De Jong dan Jean-Clair Todibo telah kembali menyertai sesi latihan menjelang musim baru tetapi Messi tidak bersama rakan sepasukannya semalam selepas dilihat bersama jurulatih kecergasan awal minggu ini.
Juara bertahan, Barca, akan bertandang ke laman bekas majikan Valverde, Athletic Bilbao, awal pagi esok sambil kapten, Messi, dijangka terlepas kerana masih dalam proses mendapatkan semula tahap kecergasan terbaik.
"Kami tidak akan mengambil risiko dengan pemain, termasuk Messi," Valverde.
"Dia tidak berlatih bersama pasukan sejak mereka kembali dan berbeza apabila menjalani latihan secara berasingan.
"Kami akan menunggu perkembangan pemulihannya. Saya difahamkan ia berjalan lancar tetapi kami perlu tunggu dan lihat."
Meskipun meraih kejuaraan LaLiga secara berturut-turut sejak meninggalkan Bilbao dua tahun lalu, prestasi Valverde di pentas Eropah buruk dan corak permainan yang diterapkan menerima kecaman.
"Semua orang mempunyai sasaran, kami mahu beraksi pada tahap terbaik," tambahnya.
"Dalam perlawanan besar, anda mahu meningkatkan tahap tetapi sentiasa memikirkan aksi lebih baik.
"Persoalannya, bagaimana? Anda mahu saya kelihatan seperti George Clooney? Sukar. Permainan bola sepak terindah juga sukar tetapi kami cuba menjadi pasukan terbaik dan sedang meningkat.
"Kami meraih beberapa aksi cemerlang musim lalu, ada juga yang buruk tetapi jika diimbas kembali dalam tempoh dua tahun, kami tewas empat aksi liga dan saya rasa, kebanyakannya berakhir dengan kami menjulang trofi. Jadi, saya rasa kami melakukannya dengan baik."
#barcelona
#bola sepak
#Ernesto Valverde
#kapten
#kecederaan betis
#LaLiga
#Lionel Messi
#proses pemulihan
#risiko
#sesi latihan
#tahap kecergasan