Barcelona perlu penyerang baru - Koeman
Astro Arena
Januari 4, 2021 11:15 MYT
Januari 4, 2021 11:15 MYT
RONALD Koeman berkata Barcelona ketiadaan pemain nombor sembilan ketika mereka hanya menjaringkan satu gol daripada 20 percubaan yang dihasilkan ketika menewaskan Huesca 1-0 dalam LaLiga awal pagi tadi dan mahu kelab itu menandatangani penyerang baru.
Lionel Messi kembali menyertai pasukan itu selepas pulih daripada kecederaan buku lali dan Koeman memilih untuk meletakkan pemain itu di bahagian serangan di samping Martin Braithwaite dan Ousmane Dembele.
Rangkaian tiga penyerang itu melakukan 15 percubaan tetapi Frenkie de Jong muncul penjaring gol penting pasukan itu menerusi sepakan volinya hasil lambungan yang dilakukan Messi pada minit ke-27.
Koeman, yang memasukkan Antoine Griezmann bagi menggantikan Braithwaite pada sembilan minit terakhir, mengakui dia kekurangan penyerang tulen untuk mengepalai jentera itu yang turut dibarisi bakat kreatif seperti Messi dan Dembele.
"Saya mempercayai kesemua pemain dalam skuad ini," kata Koeman kepada wartawan.
"Tetapi jika kami memilih untuk menggunakan tiga pemain tengah, ada ruang untuk tiga penyerang.
"Di sampung Leo, kami mempertaruhkan seseorang yang boleh ke depan seperti Dembele dan kami perlu memilih di antara Martin dan Antoine sebagai pemain depan dan Martin melakukannya.
"Kami ketiadaan pemain nombor sembilan dalam perlawanan ini tetapi ia tidak bermakna apa-apa jika dikira Antoine sebagai pemain gantian. Kami mempunyai banyak perlawanan dan kami memerlukan semua pemain.
"Kami sudah katakan berkali-kali pada awal musim ini bahawa kami memerlukan seorang di bahagian depan yang boleh bersaing mendapatkan lebih banyak gol, lebih berkesan tetapi ia bergantung kepada banyak perkara," katanya.