Barcelona julang Copa Del Rey ke-28

Astro Arena
Mei 23, 2016 10:14 MYT
Pemain pertahanan Barcelona, Jordi Alba (kanan) menewaskan pemain tengah Sevilla, Vitolo untuk menjaringkan gol pertama. AFP / Pierre-Philippe Marcou
Barcelona merangkul kejuaraan domestik kedua apabila Jordi Alba dan Neymar merobek gawang dalam masa tambahan untuk menidakkan Sevilla 2-0 dalam final Copa del Rey.
Skuad kendalian Luis Enrique hampir terlepas kejuaraan La Liga kepada Real Madrid namun mereka tenang untuk menyempurnakan kejuaraan pada hari terakhir.
Manakala Sevilla tidak dapat mengulangi persembahan yang menyaksikan anak buah Unai Emery menewaskan Liverpool dalam final Liga Europa. Apa pun, Barcelona tidak mendominasi perlawanan seperti dijangkakan.
Kehilangan Javier Mascherano yang dibuang padang dan Luis Suarez menerusi kecederaan hamstring merencatkan permainan Barcelona.
Namun sayang, kad merah Ever Banega mengimbangkan keadaan semula selepas tamat 90 minit tanpa sebarang gol.
Bersambung masa tambahan, Barcelona mendahului perlawanan apabila hantaran Lionel Messi ditemui Jordi Alba yang menyudahkan gol pertama pada minit ke-97.
Insiden membabitkan Daniel Carrico menyaksikan pemain Sevilla itu dibuang padang juga sebelum Messi menghidangkan peluang keemasan kepada Neymar untuk menyempurnakan gelaran Gopa del Rey ke-28 buat Barcelona.
#barcelona #Copa del Rey #Sevilla
;