Barcelona akan ke Malaysia 10 Ogos
Astro Awani
April 18, 2013 22:12 MYT
April 18, 2013 22:12 MYT
Pada 10 Ogos ini Kuala Lumpur bakal jadi kota tumpuan peminat bola sepak dunia khususnya penyokong kelab gergasi La Liga Sepanyol, Barcelona.
Ini kerana skuad yang menjuarai 21 gelaran La Liga itu akan membuat kunjungan sulung ke tanahair lengkap dengan barisan pemain bintang termasuk Lionel Messi.
Pengesahan rasmi kedatangan Barcelona ke Malaysia itu dibuat dalam satu majlis di ibu negara pada Khamis.
Kelab Catalan itu diwakili ketua pengarah korporatnya Antoni Rossich, manakala Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mewakili badan induk bola sepak negara itu.
Teruja dengan kerjasama itu, Rossich optimis lawatan tersebut akan mendapat sambutan hebat biarpun pertemuan dengan skuad Harimau Malaya itu akan jatuh pada tiga Syawal.
Sementara itu, Tengku Abdullah menyifatkan kedatangan kelab terbabit sebagai pengiktirafan buat bola sepak tanahair.
Terdapat enam kategori bagi tiket perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.
Tempat duduk VIP berharga RM688 dan lima harga berbeza bagi tempat duduk bebas.
Sekalipun harganya lebih tinggi berbanding ketika kehadiran beberapa kelab Liga Perdana Inggeris sebelum ini, peminat tempatan pastinya tidak akan melepaskan peluang menyaksikan pemain pujaan mereka dengan lebih dekat.