Barca ambil iktibar kejadian PSG - Pique
Astro Arena
April 11, 2019 14:05 MYT
April 11, 2019 14:05 MYT
GERARD Pique berkata Barcelona akan menjadikan penyingkiran Paris Saint-Germain (PSG) sebagai iktibar apabila dia menegaskan pertembungan menentang Manchester United dalam suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) belum berakhir biarpun pasukannya melakar kemenangan, awal pagi tadi.
Barca akan mengetuai aksi timbal balik di Camp Nou minggu depan dengan bekalan tipis 1-0 ekoran kejayaan mereka di Old Trafford selepas jaringan sendiri Luke Shaw memberikan kelebihan kepada gergasi LaLiga tersebut.
Ia adalah kemenangan pertama Barca ke atas United di tempat lawan, sebaliknya Pique melontarkan amaran terhadap sikap mudah berpuas hati dengan menyorot kekalahan PSG, yang menang 2-0 di Manchester sebelum rebah 1-3 di kandang sendiri dalam pusingan 16.
"Selepas melihat apa yang mereka lakukan terhadap PSG, tiada alasan untuk mempercayai perjuangan United sudah pun berakhir," kata Pique kepada pemberita.
"Jelas sekali ketika itu PSG merupakan pilihan untuk mara atas apa yang berlaku.
"Apa jua boleh berlaku dalam bola sepak, jadi kami perlu memberikan tumpuan yang sangat berat."
Selepas membuka jaringan pada minit ke-12, Barca kelihatan sudah berpuas hati dengan jaringan berkenaan sehingga memberikan United ruang untuk mencari gol penyamaan.
Bagaimanapun, Barca begitu ampuh bertahan dengan Pique memberikan aksi jitu ketika berdepan bekas kelabnya itu.
Pique menambah: "Kami memberikan prestasi cemerlang di pertahanan, barisan pertahanan kami berada dalam prestasi terbaik musim ini.
"Jaringan awal melegakan kami dan kami tahu bagaimana untuk menangani situasi ini. Faktor tidak dibolosi sering membantu kami musim ini.
"Sangat sukar untuk bertandang ke sini, gelanggang ini merupakan tempat bersejarah, ada aura sensasi dan anda berdepan tekanan berat."