Bangga sarung jersi United, Cavani beri respons selepas spekulasi ke Boca

Astro Arena
Mac 10, 2021 18:34 MYT
Cavani menjawab spekulasi bahawa beliau akan ke Boca Juniors. - Reuters
EDINSON CAVANI berkata dia berbangga untuk menyarung jersi Manchester United selepas bapanya mendakwa bintang penyerang itu tidak gembira di Old Trafford dan mahu meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim ini.
Cavani menyertai United secara perpindahan percuma dengan kontrak setahun pada awal musim ini dan pemain berusia 34 tahun itu kian menyerlah di Manchester, di mana penyerang Uruguay itu telah menghasilkan tujuh gol dan dua bantuan jaringan daripada 25 penampilannya dalam kesemua kejohanan.
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, memberi bayangan bahawa kontrak Cavani bersama pasukanya boleh dilanjutkan walaupun pemain itu sedang dikaitkan untuk menyertai pasukan gergasi Argentina, Boca Juniors.
Bapa Cavani, Luis, mendakwa penjaring terbanyak sepanjang zaman Paris Saint-Germain (PSG) itu tidak gembira dengan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan "mahu bermain untuk Boca".
Tetapi Cavani meredakan situasi ini dengan melakukan satu kiriman ringkas dalam media sosialnya semalam.
"Berbangga untuk menyarung jersi ini @manchesterunited," tulisnya dalam satu kiriman Instagram.
Terdahulu, Luis berkata kepada TyC Sports: "Anak saya tidak gembira di England dan dia mahu kembali untuk berada dekat dengan keluarganya. Dia mahu bermain di Amerika Selatan.
"Saya mahu Edinson bermain untuk pasukan yang bersaing merebut trofi penting. Dia sudah banyak berbincang dengan (Naib Presiden Boca, Juan Roman) Riquelme dan mahu bermain untuk Boca.
"Pada pertengahan tahun ini, dia mahu pulang ke Amerika Selatan. Anak saya tidak mahu meneruskannya di sana (Manchester). Dia mahu kembali ke sini.
"Saya rasa dia akan kembali pada Jun tahun ini," katanya.
- StadiumAstro.com/Muzaffar Musa
#Edinson Cavani #Manchester United #Old Trafford #Boca Juniors #penyerang uruguay #bola sepak #EPL #Liga Perdana Inggeris
;