BAMTC: Malaysia tersingkir awal, gagal lepasi peringkat kumpulan
Bernama
Februari 13, 2025 18:15 MYT
Februari 13, 2025 18:15 MYT
Leong Jun Hao, memberikan sedikit harapan buat Malaysia apabila bangkit menewaskan pemain nombor 63 dunia Yohanes Saut Marcellyno, 11-21, 22-20, 21-12.- Foto BAM
KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR, 13 Feb -- Buat pertama kali sejak Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) diperkenalkan pada 2017, Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan dan layak ke suku akhir.
Kempen edisi 2025 pasukan negara berakhir hari ini apabila kalah 2-3 kepada musuh ketat Indonesia di Conson Gymnasium, Qingdao, China.
Malaysia ketinggalan awal apabila pasangan beregu campuran berpengalaman Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mensia-siakan kemenangan set pertama 21-17 apabila tunduk 13-21, 18-21 kepada Dejan Fernandisyah-Siti Fadia Silva Ramadhanti dalam baki permainan.
Indonesia kemudian melebarkan kedudukan mereka apabila pemain perseorangan wanita Komang Ayu Cahya Dewi menang ke atas K. Letshanaa, 21-12, 21-19.
Pemain perseorangan lelaki negara dan pemain nombor 28 dunia, Leong Jun Hao, memberikan sedikit harapan buat Malaysia apabila bangkit menewaskan pemain nombor 63 dunia Yohanes Saut Marcellyno, 11-21, 22-20, 21-12.
Bagaimanapun pasangan beregu wanita negara Go Pei Kee-Teoh Mei Xing gagal mengekalkan harapan Malaysia apabila tewas 21-18, 7-21, 17-21 kepada Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose yang memberikan Indonesia mata kemenangan penting.
Juara beregu lelaki Indonesia Masters 2025 dan pasangan nombor 12 dunia Man Wei Chong-Tee Kai Wun kemudian memastikan Malaysia tidak kalah teruk dengan memenangi perlawanan akhir menentang beregu lelaki nombor 16 dunia Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 25-27, 21-17, 23-21.
Dengan keputusan itu, Indonesia yang membelasah Hong Kong 5-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Selasa lepas, mara ke suku akhir sebagai juara kumpulan diikuti Hong Kong manakala Malaysia di tangga tercorot tanpa kemenangan.
Semalam, Malaysia memulakan kempen Kumpulan B dengan kekalahan kepada Hong Kong 2-3.
Hanya dua pasukan teratas dari setiap kumpulan mara ke suku akhir.
Walaupun tersingkir awal daripada kejohanan itu, jurulatih perseorangan lelaki negara K. Yogendran berkata beliau berpuas hati dengan prestasi pemain.
Beliau berkata penyertaan dalam BAMTC 2025 memberikan pengajaran berharga yang membolehkan mereka mengenal pasti ruang bagi penambahbaikan dan menekankan kepentingan memupuk semangat berpasukan serta memperuntukkan lebih banyak masa untuk latihan pada masa akan datang.
Wei Chong pula mengakui walaupun mereka telah memberikan yang terbaik di Qingdao, masih banyak yang perlu dilakukan untuk mencapai potensi penuh.
-- BERNAMA