BAM umum 13 pemain tinggalkan skuad kebangsaan, Pearly-Thinaah kekal beregu wanita

Astro Awani
Oktober 2, 2024 19:35 MYT
BAM merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada pemain terbabit dan mengiktiraf dedikasi serta sumbangan mereka kepada negara - Foto Facebook BAM
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan seramai 13 pemain akan meninggalkan skuad kebangsaan.
Persatuan itu dalam kemas kini di laman Facebook rasminya berkata, BAM merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada pemain terbabit dan mengiktiraf dedikasi serta sumbangan mereka kepada negara.
Mereka ialah Chua Kim Sheng, Ong Zhen Yi, Kok Jing Hong, Jan Jireh Lee Zhi Ming (perseorangan lelaki), Siti Nurshuhaini Azman, Ung Yi Xing (perseorangan wanita), Rayner Beh Chun Meng, Choi Jian Sheng (beregu lelaki), Anna Cheong Ching Yik, Low Yeen Yuan (beregu wanita) dan Jeremy Juan Zhen Liang, Poopathi Velayutham dan Lai Ting Cen (beregu campuran).
Sementara itu, dalam kemas kini berasingan BAM turut mengumumkan 34 ahli pasukan senior kebangsaan bagi 2025.
Jelas BAM, proses pemilihan melibatkan perbincangan antara pengurusan dan barisan kejurulatihan diketuai Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.
Senarai tersebut termasuk Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao (perseorangan lelaki), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki).
Bagi skuad beregu wanita pula, Pearly Tan dan M Thinaah dikekalkan tetapi pemain lain akan ditentukan kemudian selepas penilaian oleh ketua jurulatih baharu sektor itu.
#Persatuan Badminton Malaysia #Pearly- M Thinaah #pemain badminton #BAM #skuad kebangsaan
;