BAM ukur prestasi skuad remaja melalui kejohanan campuran

Bernama
Disember 15, 2020 05:00 MYT
Misbun juga berpuas hati dengan tahap disiplin dan keinginan yang dipamerkan oleh anak buahnya, serta ingin melihat kemampuan pemain mengadaptasi modul latihan diterapkan. Foto: Bernama
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekali lagi tampil dengan inisiatif menganjurkan Kejohanan Berpasukan Campuran untuk mengukur prestasi semasa skuad remaja negara.
Kejohanan secara tertutup itu akan berlangsung bermula esok hingga Jumaat ini, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara menggunakan format yang hampir sama seperti kejohanan berpasukan campuran yang diadakan pada penghujung November lalu.
Pengarah Pembangunan Remaja BAM Datuk Misbun Sidek dalam kenyataan pada Selasa berkata pertandingan seumpama itu perlu diadakan untuk mengenal pasti tahap sebenar anak didiknya yang menjalani latihan di ABM, sejak Julai lalu.
Beliau berkata penilaian dibuat berdasarkan kepada latihan yang dibuat oleh pemain selepas menjalani latihan di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti latihan secara kuarantin dan melalui pertandingan tersebut menjadi panduan kepada barisan pemain.
Misbun juga berpuas hati dengan tahap disiplin dan keinginan yang dipamerkan oleh anak buahnya, serta ingin melihat kemampuan pemain mengadaptasi modul latihan diterapkan.
"Tahap kecergasan mereka juga menunjukkan peningkatan yang sangat baik, dan ia akan meningkatkan keyakinan pemain. Saya ingin melihat daya tahan, cara penggunaan taktikal serta tekanan mental ketika mereka berdepan situasi tertentu," katanya.
Sebanyak 74 pemain itu akan diasingkan kepada empat kumpulan iaitu Junior Terminators, Junior Avengers, Junior Transformers dan Junior Dominators.
-- BERNAMA
#BAM #Persatuan Badminton Malaysia #Kejohanan Berpasukan Campuran #skuad remaja #datuk misbun sidek
;