BAM tidak lagi mahu dengar alasan pemain - Subramaniam

Bernama
Januari 11, 2025 18:11 MYT
Kata Subramaniam, BAM telah melaburkan sejumlah wang yang besar untuk membayar jurulatih berkualiti tinggi serta pemain. - Bernama
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjelaskan ia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang alasan daripada pemain dalam menghasilkan keputusan seperti yang diharapkan susulan pelantikan jurulatih berprofil tinggi.
Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam berkata ini disebabkan oleh fakta bahawa badan induk itu melaburkan sejumlah wang yang besar untuk membayar jurulatih berkualiti tinggi serta pemain termasuk bintang utama di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
"Pelaburan ini tidak sepatutnya dibazirkan. Banyak suara yang menyatakan bahawa kita tidak menghasilkan keputusan kerana apabila kita menghasilkan keputusan, sudah tentu nama pemain yang disebut, bukan BAM, pegawai atau jurulatih.
"Kami membawa masuk pemimpin terbaik atau jurulatih terbaik dari seluruh dunia. Jika mereka tidak berjaya, apa lagi yang boleh kita lakukan? Jadi, tiada lagi alasan... kami akan tegas kerana telah memberikan yang terbaik untuk pemain," katanya pada sidang media selepas mesyuarat majlis BAM di sini, hari ini.
Katanya jurulatih juga mesti bertanggungjawab dalam menilai sama ada pemain mencapai standard atau sekadar mengambil mudah.
Beliau juga meminta supaya petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas daripada jurulatih bagi memastikan kemajuan dapat dipantau dengan berkesan.
"Jadi, kita mahu melihat sekurang-kurangnya pada akhirnya, mesti ada kira-kira 65 hingga 75, atau 60 hingga 70 peratus keputusan yang positif," katanya.
Subramaniam juga berkata mereka tidak akan campur tangan dengan rancangan yang disusun oleh jurulatih dan mereka akan diberi kebebasan untuk melaksanakan strategi bagi meningkatkan prestasi pemain negara.
Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky, berkata walaupun jurulatih berpengalaman memainkan peranan penting, pemain juga mesti memahami dan selari dengan rancangan jurulatih untuk berjaya.
Beliau menegaskan jika pemain dan jurulatih tidak sehaluan, kemajuan tidak akan dapat dicapai kerana kejayaan memerlukan kerjasama yang baik antara kedua-dua pihak.
Terdahulu, BAM menamakan legenda beregu Indonesia Herry Iman Pierngadi atau dikenali sebagai Herry IP sebagai ketua jurulatih beregu lelaki berkuat kuasa 1 Februari ini dengan kontrak selama empat tahun.
Herry, yang menggantikan Tan Bin Shen, sebelum ini pernah melatih juara Olimpik seperti Tony Gunawan-Candra Wijaya dan Hendra Setiawan-Markis Kido, bersama ramai lagi pasangan bertaraf dunia yang lain.
Bin Shen akan meninggalkan kem kebangsaan selepas Terbuka Malaysia 2025 berakhir esok dan akan meneruskan perjalanan kejurulatihannya bersama pasukan kebangsaan Hong Kong bulan depan.
November lalu, BAM melantik bekas pemain Denmark, Kenneth Jonassen sebagai ketua jurulatih perseorangan negara yang memainkan peranan penting dalam membentuk pemain nombor empat dunia Viktor Axelsen sebagai juara dunia 2017 dan pingat emas Olimpik Tokyo 2020.
-- BERNAMA
#BAM #alasan pemain #pelantikan jurulatih #V Subramaniam #badminton
;