BAM terima tajaan terbesar daripada Petronas

Bernama
Mac 4, 2022 18:31 MYT
Perjanjian penajaan itu ditandatangani oleh Mohamad Norza dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB Azrul Osman Rani. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini memeterai perjanjian penajaan terbesar dalam sejarah selepas menandatangani perjanjian selama tiga tahun dengan Petronas dan anak syarikatnya Petronas Dagangan Berhad (PDB).
Perjanjian penajaan itu sebagai usaha untuk meningkatkan lagi prestasi badminton Malaysia menerusi latihan dan persediaan pemain kebangsaan terutama menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 selain turut memberi manfaat kepada program pembangunan menyeluruh BAM.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, logo Petronas akan diletakkan dengan jelas pada jersi skuad kebangsaan bermula pada kejohanan All England 2022 yang dijadualkan pada 16-20 Mac.
Petronas juga akan menjadi penaja utama Terbuka Malaysia pada Jun manakala Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara juga dikenali sebagai Petronas ABM.
"Sejak penubuhan BAM ini adalah penajaan paling besar," kata Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria tanpa mendedahkan jumlah tajaan diterima, pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian rakan kongsi antara BAM dan Petronas di ABM hari ini.
"Ini adalah hari bersejarah. Bagi kami (BAM) ini adalah berita baik yang menggemparkan...kita berasa sangat beruntung dan bertuah kerana Petronas bersama kita. Ini satu penajaan yang akan memberi peluang kepada kita untuk kekal fokus dengan perancangan menuju ke Paris 2024," katanya.
Perjanjian penajaan itu ditandatangani oleh Mohamad Norza dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB Azrul Osman Rani.
Sementara itu, Azrul berkata Petronas dan PDB amat berbangga dapat bekerjasama dengan BAM dan dapat bersama-sama dalam misi untuk memartabatkan sukan badminton Malaysia di semua peringkat.
"Sebagai sebuah syarikat yang komited memberi tenaga kepada Malaysia, kami berkongsi keazaman persatuan ke arah pembangunan sukan mampan dan berterusan selaras dengan visi mereka untuk berjaya secara konsisten di persada dunia," katanya.
Pada April tahun lepas, BAM menandatangani perjanjian penajaan selama lima tahun dengan jenama badminton terkenal antarabangsa Yonex, membabitkan RM55 juta tidak termasuk bonus.
Pada 2015, BAM turut menerima tajaan bernilai RM60 juta selama enam tahun dengan pembekal barangan sukan dari Taiwan, Victor.
-- BERNAMA
#BAM #PETRONAS DAGANGAN #Tajaan #Mohamad Norza Zakaria
;