BAM setuju lepaskan Sze Fei-Nur Izzudin 1 Sept

Bernama
Ogos 24, 2024 16:08 MYT
Setiausaha Agong Kenny Goh berkata BAM menghormati keputusan gandingan di kedudukan ke-12 dunia itu untuk meneruskan karier selaku pemain profesional selepas ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersetuju untuk melepaskan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang membuat keputusan meninggalkan badan induk sukan itu bermula 1 Sept ini.
Setiausaha Agong Kenny Goh berkata BAM menghormati keputusan gandingan di kedudukan ke-12 dunia itu untuk meneruskan karier selaku pemain profesional selepas ini.
"Saya pasti anda telah tahu mereka meminta untuk bergerak secara bebas.
"Jadi selepas perbincangan, kami memahami dan menghormati keputusan mereka untuk meneruskan kerjaya secara profesional dan kami telah bersetuju untuk melepaskan mereka pada 1 Sept," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Sze Fei dan Nur Izzuddin berhasrat untuk meninggalkan BAM dan meneruskan karier sebagai pemain profesional.
Sze Fei dan Nur Izzuddin sebelum ini berpisah pada Januari tahun lepas sebelum disatukan semula enam bulan kemudian.
Pasangan itu hari ini berjaya meloloskan diri untuk ke final Terbuka Jepun 2024 selepas mengecewakan pasangan Indonesia Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana 21-19, 21-17 pada aksi separuh akhir di Arena Yokohama sebentar tadi.
-- BERNAMA
#Persatuan Badminton Malaysia #lepaskan beregu lelaki negara #Goh Sze Fei #Nur Izzuddin Mohd Rumsani #profesional