BAM sedia bayar denda kepada BWF
Bernama
Januari 18, 2018 21:21 MYT
Januari 18, 2018 21:21 MYT
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyokong keputusan Datuk Lee Chong Wei untuk memilih kejohanan yang akan disertainya musim ini, walaupun perlu membayar denda kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Setiausaha Kehormat BAM Datuk Ng Chin Chai berkata sebelum ini badan induk sukan itu telah menulis surat kepada BWF supaya mengkaji semula peraturan baharu itu, namun masih belum menerima sebarang jawapan.
"Memang tidak masuk akal pemain perlu bermain 12 kejohanan setahun. Dia (Chong Wei) tewas pada pusingan pertama kerana dia tidak bersedia secara fizikal dan mental untuk kejohanan ini (Masters Malaysia).
"Mengikut pusingan sebelum ini (Siri Super), pemain utama hanya perlu bermain lapan hingga sembilan kejohanan, ia masih okey.
"Pada penghujung musim, mereka ada masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk berehat dan pulih sebelum kejohanan utama pertama (All England)," katanya ketika ditemui di Arena Axiata, Bandaraya Sukan Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Chong Wei dan tiga lagi pemain terbaik dunia Chen Long, Lin Dan dari China dan Son Wan Ho dari Korea Selatan tersingkir awal pada kejohanan Masters Malaysia semalam.
Mengikut peraturan baharu BWF itu, 15 pemain terbaik dunia diwajibkan melengkapkan sekurang-kurangnya 12 kejohanan utama dalam setahun.
Difahamkan penalti kerana tidak menyertai kejohanan boleh mencecah US$5,000 (RM 19,800).
-- BERNAMA
#badminton
#BAM
#BWF
#Chen Long
#denda
#kaji semula
#Lee Chong Wei
#Lin Dan
#ng chin chai
#Peraturan
#peraturan baharu