BAM nafi laporan dakwa kontrak tiga jurulatih tidak diperbaharui
Bernama
Januari 24, 2022 19:15 MYT
Januari 24, 2022 19:15 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini menyangkal laporan akhbar yang mendakwa kontrak tiga jurulatih kebangsaan tidak akan diperbaharui.
Badan induk badminton negara itu dalam satu kenyataan hari ini berkata mereka masih dalam proses menilai jurulatih dan pemain mereka.
"Penilaian menyeluruh kakitangan kejurulatihan dan pemain masih berjalan, selaras dengan struktur kejurulatihan yang diperkemas dan dirombak," menurut BAM.
Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan bahawa kontrak jurulatih perseorangan lelaki Tey Seu Bock, ketua jurulatih perseorangan wanita Indra Wijaya dan ketua jurulatih beregu campuran Paulus Firman tidak akan diperbaharui.
Bulan lepas, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh mengumumkan semakan prestasi akhir tahun yang sepatutnya siap lebih awal, ditangguhkan sehingga bulan ini selepas pengarah kejurulatihan beregu Rexy Mainaky, yang baru melapor diri untuk bertugas pada 1 Dis, meminta masa untuk menilai pemain dan jurulatih.
Kenny juga berkata, setiap individu - daripada pengurusan kepada jurulatih dan juga pemain - perlu dipertanggungjawabkan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa ketua akan diketepikan selepas penilaian itu.
BAM baru-baru ini mendapat perhatian ramai berikutan pertikaian dengan pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia.
Pada Jumaat (21 Jan), BAM membuat keputusan tegas untuk tidak mendaftarkan Zii Jia bagi kejohanan antarabangsa untuk tempoh dua tahun bermula 18 Jan selepas juara All England 2021 itu memutuskan untuk meninggalkan BAM dan meneruskan karier sebagai pemain profesional.
Setakat ini, Zii Jia belum membuat sebarang kenyataan mengenai perkara itu (peraturan BWF menyatakan semua penyertaan untuk kejohanan antarabangsa mesti melalui persatuan kebangsaan). - BERNAMA