BAM kecewa, minta maaf kepada rakyat Malaysia

Bernama
September 1, 2014 09:04 MYT
Lee Chong Wei (kanan) kelihatan kecewa setelah tewas kepada Chen Long. Bersamanya dalam gambar ialah jurulatih Hendrawan (kiri) dan Tey Seu Bock (dua dari kanan). BERNAMA
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalan skuad negara menghadiahkan gelaran dunia sempena Hari Kemerdekaan ke-57, Ahad.
Timbalan presidennya Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata beliau kecewa dengan persembahan skuad negara pada Kejohanan Dunia BWF 2014 di sini kerana gagal mengakhiri kemarau gelaran sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1977.
Beliau turut bersimpati dengan nasib Datuk Lee Chong Wei yang terus kempunan untuk memenangi kejuaraan dunia sulungnya walaupun telah memberikan persembahan terbaik menentang pemain nombor dua dunia, Chen Long dari China.
"Saya kecewa kerana kita gagal menamatkan badi selama 37 tahun namun saya turut bersimpati dengan Chong Wei yang telah mencuba sedaya upaya untuk menang namun nasib lebih memihak kepada Chen Long," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir kejohanan itu di sini.
Bagaimanapun, beliau bangga dengan peningkatan persembahan yang dipamerkan oleh perseorangan utama wanita negara, Tee Jing Yi walaupun kalah seawal pusingan kedua kepada juara dunia baharu, Carolina Marin dari Sepanyol.
Pilihan kesembilan itu melakar sejarah tersendiri selepas muncul pemain Sepanyol pertama muncul juara dunia selepas mengejutkan juara Olimpik dan pilihan utama, Li Xuerui dari China dengan kemenangan 17-21, 21-17 dan 21-18.
Malaysia gagal meraih sebarang kejuaraan selepas sebahagian besar wakil negara termasuk pemain wanita negara tersingkir pada pusingan awal kejohanan.
Kejohanan Dunia 2015 bakal diadakan di Jakarta, Indonesia.
Mohamad Norza berkata BAM akan terus mempertingkatkan usaha dalam mengetengahkan pemain pelapis bagi menggantikan pemain senior sedia ada.
Katanya skuad negara tidak boleh terus mengharapkan Chong Wei untuk terus menghadiahkan kejayaan untuk negara dalam sesuatu kejohanan.
Justeru, katanya BAM akan cuba mencari pelbagai kaedah untuk memastikan pemain pelapis yang sedia ada akan terus dilatih dan diberi pendedahan bagi mencari pengganti Chong Wei.
#BAM #Chen Long #Chong Wei #Norza Zakaria #WBF
;