BAM buka pintu kepada pemain profesional berlatih di ABM

Bernama
November 21, 2022 04:00 MYT
Menurut BAM, sesi latihan bersama ini akan membantu meningkatkan semangat keakraban antara pemain dan pegawai khususnya apabila mereka mewakili negara dalam pertandingan berpasukan.
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini membuka pintu kepada pemain profesional menjalani sesi latihan mingguan bersama pemain kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, di sini.
BAM, dalam kenyataan semalam, memaklumkan bahawa sesi itu akan memberikan manfaat bersama kepada enjin proaktif pasukan kebangsaan - skuad senior dan pemain profesional kerana sesi 'sparring' (rakan sepelatih) adalah komponen penting dan perlu dalam latihan mereka.
Menurut BAM, sesi latihan bersama ini akan membantu meningkatkan semangat keakraban antara pemain dan pegawai khususnya apabila mereka mewakili negara dalam pertandingan berpasukan.
BAM mencadangkan sesi latihan tersebut untuk pemain perseorangan dan beregu pada waktu pagi hari Rabu manakala sesi kedua untuk pemain beregu akan berlangsung pada hari Jumaat.
"Pemain dalam ranking kelompok 50 utama Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk pemain perseorangan dan ranking dunia dalam kelompok 30 utama acara beregu layak mengikuti sesi latihan manakala lima pemain terbaik negara juga dipertimbangkan.
"Jurulatih juga dibenarkan mengiringi pemain masing-masing semasa sesi latihan di gelanggang," menurut kenyataan BAM itu.
Pemain profesional berminat menyertai sesi latihan di ABM perlu menghubungi Pengarah Kejurulatihan BAM sebelum hari Isnin pada minggu berkenaan, justeru BAM berharap pemain profesional akan menerima tawaran tersebut.
-- BERNAMA
#BAM #ABM #latihan bersama #pemain profesional
;