Balotelli sumbat gol dramatik, kemudian dibuang padang

Astro Arena
Oktober 3, 2016 11:39 MYT
Mario Balotelli (kanan) memberi reaksi selepas dihulurkan kad merah pada perlawanan bolasepak Liga Perancis antara Nice (OGCN) dan Lorient (FCL) di Stadium Allianz Riviera, Nice pada Ahad, 2 Oktober, 2016. / AFP PHOTO
MARIO Balotelli menyumbat gol kemenangan lewat yang gemilang sebelum dibuang padang pada waktu kecederaan ketika berdepan Lorient sambil Nice melonjak ke tangga teratas dengan kemenangan dramatik 2-1 dalam Liga Perancis.
Gol pada minit ke-86 itu, satu rembatan ke penjuru atas gawang selepas peluang tercipta hasil kuisan Wylan Cyprien, memberikan pasukan kendalian Lucien Favre satu kemenangan yang mengangkat mereka di atas Monaco di puncak liga.
Ia kelihatan sebagai tindak balas sempurna daripada Balotelli selepas dia tercicir daripada skuad Itali kendalian Giampiero Ventura untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia berdepan Sepanyol dan Macedonia di sebalik permulaan pada musim baru yang menyaksikan dia menyumbat enam gol dalam semua pertandingan.
Namun, sesudah dilayangkan kad kuning kerana menanggalkan bajunya ketika meraikan jaringannya, bekas penyerang Liverpool itu menerima kad kuning kontroversi yang kedua pada minit kedua waktu kecederaan, kerana dia kelihatan seperti menghantuk kepalanya kepada Steven Moreira, yang baru melakukan satu faul.
Drama lewat itu berlaku selepas Lorient mengasak hebat Nice selepas mereka mendahului menerusi rembatan rendah Ricardo Pereira yang seharusnya mampu ditampan penjaga gol, Benjamin Lecomte, selepas 11 minit.
Gol penyamaan Lorient hadir selepas 61 minit, hasil satu pergerakan yang menyaksikan Benjamin Moukandjo menyudahkan hantaran lolos Mohamed Mara.
Pasukan pelawat turut mendapati satu percubaan menyinggahi palang tapi kesudahannya, ia terluang buat Balotelli untuk muncul wira.
#Liga Perancis #Lorient #Mario Balotelli #Nice
;