Balotelli akur dipinggirkan Azzurri kali ini
Astro Arena
Oktober 4, 2016 08:57 MYT
Oktober 4, 2016 08:57 MYT
MARIO Balotelli menerima hakikat susulan namanya dipinggirkan dalam skuad terbaru Itali di bawah bimbingan Giampiero Ventura, namun dia mensasarkan untuk kembali ke pangkuan Azzurri dalam masa terdekat.
Penyerang kontroversi itu tidak tampil bersama pasukan kebangsaan sejak Piala Dunia 2014 di Brazil, di mana dia dikeluarkan pada separuh masa pertama dalam kekalahan 1-0 mereka kepada Uruguay di Natal.
Sejak itu, Balotelli bergelut untuk menemui sentuhan terbaiknya ketika bersama AC Milan dan Liverpool - pemain berusia 26 tahun itu hanya sempat menghasilkan empat jaringan sahaja sepanjang kempen 2014-15 dan 2015-16.
Kesukarannya di Liverpool menyaksikan dia berpindah ke Nice secara percuma dalam jendela perpindahan awal musim ini, dan sejak itu dia menyinar dalam kancah Ligue 1 dengan lima gol dalam tiga penampilan.
Susulan itu, dia dikaitkan akan kembali menyertai skuad kebangsaan. Bagaimanapun, Ventura memilih untuk tidak menyenaraikannya, di mana keputusan itu diterima oleh Balotelli.
"Saya merinduinya (aksi antarabangsa), namun (keputusan itu) sememangnya wajar," katanya kepada Sky Sport Italia.
"Saya harap dapat kembali menyarung jersi Itali tidak lama lagi, tetapi hanya ketika saya di tahap terbaik.
"Bagi saya, lebih baik tidak menyertai perlawanan kali ini. Saya mahu berada di tahap terbaik untuk perlawanan akan datang."
Balotelli turut membuka pekung mengenai masalahnya di kelab terdahulu di Itali bersama Milan, dengan mengkritik suasana di kelab berkenaan.
"Ia bukan suasana yang baik untuk saya," tambahnya. "Saya tidak mencetuskan apa-apa masalah kelakuan. Kecederaan adalah di luar kawalan pemain dan itu bukannya bergantung kepada kami."
"Saya mendapati banyak kekeliruan di Milan, kepastian tunggal yang ada ialah (Adriano) Galliani."
Kehidupan di Selatan Perancis memberi manfaat buat Balotelli apabila dia mula menikmati rentak sebenarnya semula.
"Bandar yang saya menetap sekarang adalah sangat cantik," kata bekas penyerang Inter itu. "Aspek suasana memainkan peranan ketika saya membuat keputusan, selepas menjalani kehidupan di Liverpool dan Milan.
"Skuad ini masih muda. Kami hampir sebaya, inilah bola sepak yang saya mahukan.
"Saya tidak mempunyai apa-apa impian lagi dalam bola sepak, yang ada adalah sasaran.
"Ranking pasukan yang membuatkan saya rasa gembira? Nice, Manchester City dan... itu sahaja."