Ballon d'Or: Karim Benzema tamat penantian menang gelaran pertama
Astro Arena
Oktober 18, 2022 08:10 MYT
Oktober 18, 2022 08:10 MYT
KARIM Benzema dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Ballon d'Or buat kali pertama dalam satu majlis di Theatre du Chatelet, Paris awal pagi tadi.
Kapten Real Madrid itu merupakan calon pilihan untuk memenangi anugerah utama berkenaan selepas membantu pasukan gergasi Sepanyol itu menjuarai LaLiga dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu.
Menjelang Piala Dunia Qatar bulan depan, perubahan format menyaksikan Anugerah Ballon d'Or kali ini dinilai berdasarkan prestasi semusim berbanding secara kalendar setahun seperti sebelum ini.
Pemain kebangsaan Perancis, Benzema, sedari awal dijangka akan menjadi calon pilihan untuk memenangi edisi kali ini selepas dia meledakkan 44 gol daripada 46 perlawanan dan menjulang trofi Eropah buat kali kelima sepanjang kariernya musim lalu.
Walaupun rekod jaringannya itu diatasi Robert Leandowski (50) -- bekas pemain Bayern Munich yang kini bersama Barcelona -- 10 daripada gol yang dijaringkan Benzema dihasilkan dalam pusingan kalah mati UCL, sekali gus menyamai rekod terbanyak semusim yang dilakukan Cristiano Ronaldo.
Ditambah dengan 15 bantuan jaringan, Benzema telah terlibat dengan 59 gol sepanjang musim lalu dan hanya Kylian Mbappe mempunyai rekod lebih baik dengan 60 penglibatan (39 gol dan 21 bantuan jaringan).
Benzema telah dicalonkan dalam Anugerah Ballon d'Or dalam 10 edisi terdahulu tetapi hanya dapat menembusi kelompok 10 terbaik buat kali pertama tahun lalu, di mana dia menamatkan saingan di tempat keempat sewaktu Lionel Messi -- yang tidak dicalonkan musim ini -- meraih anugerah ketujuhnya.