Ballon d'Or: Bonmati bagaikan Zidane wanita, kata Pauleta

Astro Arena
September 29, 2023 11:20 MYT
Pemain Sepanyol Aitana Bonmati ketika memenangi Anugerah Bola Emas FIFA. - Foto REUTERS
AITANA Bonmati memiliki kualiti seperti Zinedine Zidane dan layak untuk memenangi Ballon d'Or, kata bekas pemain kebangsaan skuad wanita Portugal, Pauleta.
Kecemerlangan Bonmati sepanjang musim 2022-23 membantu Barcelona meraih kejuaraan 'treble', di mana dia terlibat dengan 12 jaringan sewaktu Blaugrana memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebelum turut memainkan peranan besar sewaktu pasukan kebangsaannya, Sepanyol, menjuarai Piala Dunia Wanita pertama di New Zealand dan Australia bulan lalu.
Bonmati memenangi Anugerah Bola Emas selaku pemain terbaik dalam kejohanan itu dan pemain tengah berkenaan kini menjadi calon tumpuan untuk memenangi lebih kejuaraan pada masa akan datang selepas tersenarai untuk merebut Anugerah Ballon d'Or, yang pemenangnya akan diumumkan di Paris pada penghujung bulan depan.
Pauletta amat yakin Bonmati akan dinamakan sebagai pemain terbaik bagi musim 2022-23 sambil berkata pemain itu memiliki pesona bintang yang sama dengan legenda Perancis dan pemenang Ballon d'Or 1998, Zidane.
Ditanya mengenai siapa yang akan memenangi trofi itu, Pauleta berkata kepada Stats Perform: "Saya akan katakan Aitana kerana dia melalui musim yang hebat dengan Barcelona dan Sepanyol.
"Saya berlawan dengannya dalam UCL. Saya dapat rasakan dia seperti Zidane dalam perlawanan itu.
"Dia amat agresif tetapi ketika memiliki bola, dia bermain dengan sangat indah. Dia sentiasa meletakkan bola di tempat yang sepatutnya.
"Permainan menjadi lebih baik ketika dia bermain. Dia memiliki kualiti yang menjadikan permainannya cantik," katanya. - Stadium Astro
#Aitana Bonmati #Ballon d'Or #Zinedine Zidane #Piala Dunia Wanita
;