'Bakar suar nampak hebat dari sudut gambar... tapi...'
Bernama
April 18, 2023 20:13 MYT
April 18, 2023 20:13 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam melihat tindakan pembakaran suar di stadium mungkin menghasilkan suasana dan gambaran yang hebat.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu tetap melibatkan aspek tatatertib di bawah bidang kuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
"Saya rasa dari gambar ia kelihatan hebat dan memukau, tetapi ini bukan soal gambar ini adalah soal tatatertib, biar pihak berkuasa yang bertindak," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Jalinan Kasih bersama Aeon Big x MFL di Aeon Big Wangsa Maju di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai imej saingan Liga Super selepas terdapat beberapa insiden membakar suar di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor musim ini.
Sebelum ini, sebanyak tiga kali sekumpulan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) membakar suar selepas perlawanan sekali gus melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tataterbit FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.
Tindakan membakar suar itu dilakukan ketika Harimau Selatan menang dua perlawanan Liga Super masing-masing ke atas Sabah FC pada 31 Mac dan Kedah Darul Aman (KDA) FC (9 April) dan aksi Piala FA berdepan PDRM FC 14 April lepas.
Mengulas lanjut, Stuart berkata undang-undang ataupun larangan melibatkan suar adalah untuk memastikan keselamatan di stadium, selain mengulangi pendiriannya untuk tidak menyentuh dari aspek hukuman memandangkan ia di bawah bidang kuasa FAM.
-- BERNAMA