Bakal pengganti 'Dik Wan' puas raih emas

Bernama
November 4, 2022 14:34 MYT
Atlet berusia 22 tahun itu mencatat kepantasan 13.15 saat (s) untuk meraih emas Para Sukma pertamanya. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kekecewaan merangkul emas semasa penampilan sulung edisi Para Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, akhirnya terubat apabila atlet para olahraga Johor Ahmad Fizzi Rosni berjaya merangkul pingat emas acara 100 meter (m) Lelaki T35/T36 (Palsi Serebrum) dalam temasya sama tahun ini di Stadium Bukit Jalil.
Atlet berusia 22 tahun itu mencatat kepantasan 13.15 saat (s) untuk meraih emas Para Sukma pertamanya selepas hanya mampu membawa pulang dua perak dan satu gangsa pada edisi kejohanan sama empat tahun lepas.
Beliau yang disebut-sebut sebagai pengganti jaguh para olahraga kebangsaan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi atau lebih dikenali sebagai 'Dik Wan' berkata pencapaian itu juga mengubat duka kekecewaannya untuk beraksi di Sukan Para ASEAN 2020, Filipina selepas dibatalkan akibat pandemik COVID-19.
"Kejayaan ini petanda saya dah cuba yang terbaik dalam latihan," katanya yang tidak dapat menahan perasaan sehingga menangis dan terpaksa ditenangkan seketika, ketika ditemui Bernama di sini.
Beliau kemudian berkata: "Saya berterima kasih kepada mak dan ayah yang sokong saya sampai ke sini, kawan-kawan semua beri sokongan dan cikgu serta jurulatih yang sentiasa mengajar. Sasaran saya adalah Sukan Para ASEAN Kemboja 2023, saya nak buat terbaik untuk mak dan ayah."
Beliau yang mengidolakan Mohamad Ridzuan, turut gembira selepas pemenang emas 100m T36 Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil itu sempat mengucapkan tahniah kepadanya atas kejayaan meraih emas.
Pada saingan final semalam, Ahmad Fizzi menjadi yang terpantas melepasi garisan penamat, menewaskan atlet Kedah Mohamad Sobri Ghazali yang mencatat 13.88s di tempat kedua dan ketiga menjadi milik wakil Perlis Mahfudz Mahzan yang merekodkan 14.85s.
Untuk rekod, Mohamad Ridzuan memiliki catatan masa peribadi terbaik 12.06s manakala rekod Paralimpik 11.85s dipegang atlet China, Deng Peicheng yang dilakukan pada edisi Tokyo 2020.
-- BERNAMA
#Para SUKMA #atlet para olahraga #Ahmad Fizzi Rosni #Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi
;