Bakal cabar Ben Asken, impian YouTuber Jake Paul lawan petarung UFC jadi kenyataan

Haider Yutim
Januari 27, 2021 13:11 MYT
Jake Paul bakal bertarung dengan bekas atlet UFC, Ben Askren pada April depan. - Foto Twitter/@triller
YOUTUBER sensasi dari Amerika Syarikat, Jake Paul yang kini bergelar petinju profesional, dilaporkan bakal bertarung dengan bekas atlet UFC, Ben Askren pada April depan.
Paul, yang sering mencetuskan kontroversi menerusi kandungan-kandungan videonya, memuat naik poster promosi pertarungan itu di akaun Twitternya beserta kapsyen, “It’s official. April 17th. @triller Fight Club.”
Menurut wartawan, Ariel Helwani, perlawanan tinju itu akan diadakan pada 17 April, 2021 di Triller Fight Club dan akan menjadi pertarungan utama dalam acara tersebut.
Paul, ketka ditemu bual Helwani dalam rancangan The MMA Show, yakin dapat menewaskan Askren dalam masa yang singkat — lebih singkat daripada kemenangan KO Jorge Masvidal ke atas Askren, iaitu 5 saat.
BACA: KO 5 saat: 'Lutut terbang' memang strategi Masvidal buat Askren
BACA: Bekas juara ONE Championship, Ben Asken tewas dalam 5 saat
"Saya mula bertinju dua tahun lalu dan saya masih (merasakan) dapat menumpaskan Askren lebih cepat daripada (Jorge) Masvidal.
”Orang-orang MMA ini fikir… hanya kerana mereka boleh tumbuk, mereka mahir bertinju.
“Ramai yang bising kerana (pertarungan sebelum ini) saya hanya menewaskan pemain bola keranjang dan bukan petarung sebenar. Jadi, sekarang saya nak berikan apa yang mereka mahu, iaitu berlawan dengan ‘petarung sebenar’,” kata personaliti berusia 24 tahun itu.
Paul merupakan seorang selebriti media sosial, pelakon dan juga petinju yang baru sahaja bertukar status kepada profesional tahun ini.
BACA: Selepas kemenangan KO, YouTuber Jake Paul cabar Conor McGregor pula
Dia telah memenangi dua pertarungan profesional dan satu pertarungan peringkat amatur.
Dia juga merupakan adik kepada seorang lagi pelakon dan YouTuber terkenal, Logan Paul.
Sementara itu, Askren, 32, dalam reaksinya berkata dia langsung tidak bimbang dengan perlawanan tersebut kerana Paul adalah seorang YouTuber dan bukan petinju sebenar.
“Bukannya saya nak lawan Mike Tyson, ataupun Roy Jones Jr. Jika mereka berdua, sudaah tentu saya akan risau, saya akan gementar.
“Saya pernah melangkah masuk ke gelanggang untuk berdepan ‘pembunuh’ yang dilatih — mereka yang cari makan dengan berlawan.
“Tanggapan bahawa lelaki ini (Paul) mahir bertinju, cuma khayalan sahaja,” kata bekas juara dunia Bellator MMA dan ONE Championship itu.
Askren terkenal dengan kemahiran gustinya selain mempunyai rekod profesional dalam sukan seni bela diri campuran (MMA) sebanyak 20 kemenangan dan dua kekalahan (20 - 2).
Dia juga pernah menjadi juara kebangsaan Divisyen I NCAA serta pernah mewakili Amerika Syarikat dalam Sukan Olimpik di Bejing pada 2008.
#Jake Paul #Ben Askren #UFC #Jorge Masvidal #Ariel Helwani #MMA #tinju #YouTuber
;