Baju Melayu, songket Melaka tonjol semangat kebangsaan Faiz Subri di Zurich

Bernama
Januari 6, 2017 14:32 MYT
Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) Datuk Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar (kanan) bersama Mohd Faiz Subri selepas majlis penyerahan pakaian itu di sebuah hotel dekat Bayan Baru pada 3 Jan. - fotoBERNAMA
Persalinan lengkap baju Melayu berserta songket yang bakal dipakai Mohd Faiz Subri pada Anugerah Puskas 2016 di Zurich Isnin depan, sinonim dengan semangat jati diri yang ditonjolkan oleh pemain tengah Pulau Pinang itu.
Baju Melayu hitam yang dipadankan dengan songket Melaka tenunan benang emas bermotif lima kelopak bunga kesidang bernilai RM3,000 itu dihadiahkan oleh Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) sebagai tanda penghormatan kepada Mohd Faiz.
Pengerusi ISMMA, Tan Sri Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata pihaknya terpanggil untuk merealisasikan hasrat Mohd Faiz selepas membaca kenyataan pemain berusia 30 tahun itu yang mahu memakai baju Melayu pada anugerah berprestij di Zurich itu.
"Lebih terharu lagi, anak muda seperti Mohd Faiz tidak segan silu untuk menyatakan hasratnya memakai baju Melayu di sana dan berbahasa Melayu sekiranya beliau berpeluang menyampaikan ucapan di atas pentas pada anugerah itu.
"Kami mendoakan kejayaan beliau di sana. Persalinan baju Melayu berwarna hitam dan songket sulaman benang berwarna keemasan berserta tengkolok itu memang dihadiahkan khas buat Mohd Faiz," katanya kepada Bernama.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memberi kebenaran kepada Mohd Faiz untuk menggayakan set persalinan lengkap baju Melayu pada anugerah itu dan bukannya sut seperti kebiasaannya pada majlis berprestij itu.
Abdul Latiff berkata persalinan lengkap itu pada kebiasaannya dipakai oleh orang kenamaan bagi menghadiri Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran.
"Mohd Faiz adalah contoh wira dalam kalangan generasi muda yang bangga memperagakan baju Melayu di hadapan pemain bola terkemuka dunia, saya berharap semangat sebegitu akan menjadi contoh terbaik untuk anak muda dan pemimpin negara.
"Kalau kita lihat, orang Arab bangga memakai jubah sebagai baju kebangsaan mereka ketika menghadiri majlis di peringkat antarabangsa begitu juga dengan Jepun yang menggunakan bahasa ibunda mereka ketika berucap dan kenapa tidak kita," katanya.
Mohd Faiz merupakan finalis dalam kategori gol tercantik bersama-sama dua pemain lain iaitu Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain bola sepak wanita, Danisuka Rodriguez dari Venezuela.
Teknik 'knuckleball' yang dicalonkan pada anugerah tersebut dilakukan Mohd Faiz ketika menjaringkan gol melalui sepakan percuma ketika perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang pada saingan Liga Super, Februari tahun lepas.
Sepakan melencong masuk ke gawang lawan itu membolehkan beliau bertanding menentang sembilan peserta lain pada peringkat awal, termasuk bersama-sama Lionel Messi dari Argentina dan Neymar dari Brazil untuk anugerah itu.
Anugerah Puskas dinamakan sempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.
Sejak diperkenalkan pada 2009, anugerah yang bertujuan mengiktiraf gol tercantik di dunia sepanjang sesuatu tahun itu pernah dimenangi bintang bola sepak terkenal dunia antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez. - BERNAMA
#Anugerah Puskas #baju melayu #Faiz Subri #ISMMA #Puskas
;